Pil antiviral Covid-19 tiba di Korea Selatan minggu depan

Pil antiviral Covid-19 dijangka tiba di Korea Selatan minggu depan.
Pil antiviral Covid-19 dijangka tiba di Korea Selatan minggu depan.
A
A
A

SEOUL - Pil antiviral Covid-19 dijangka tiba di Korea Selatan minggu depan, lapor agensi berita Yonhap memetik kenyataan Perdana Menteri, Kim Boo Kyum pada Jumaat.

"Kami akan memastikan ubat oral in akan diperkenalkan dengan cepat dalam bidang perubatan," kata Kim ketika mesyuarat respons Covid-19 di Seoul.

Kerajaan setakat ini telah menempah ubat oral Covid-19 bagi kegunaan satu juta rakyatnya.

Negara itu menandatangani kontrak prapembelian dengan syarikat farmaseutikal gergasi Amerika Syarikat Pfizer Inc bagi pil Paxlovid untuk kegunaan 762,000 pesakit.

Kerajaan juga menandatangani perjanjian dengan MSD, anak syarikat pengeluar ubat AS Merck & Co, untuk prapembelian ubat oral bagi 242,000 pesakit.

Penghantaran pertama dijangka tiba pada Khamis.

Kerajaan akan mengumumkan mengenai rawatan oral yang diimport itu secara terperinci minggu depan.

Kim turut meminta rombakan terhadap sistem tindak balas perubatan daripada segi kepantasan dan kecekapan bagi menghadapi penularan pantas varian Omicron.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, pihak berkuasa kesihatan akan mengutamakan ujian diagnostik virus kepada individu tertentu, supaya mereka yang mempunyai risiko jangkitan lebih tinggi dapat diperiksa dengan cepat menggunakan ujian tindak balas PCR. - Bernama