Banjir: Situasi di tiga negeri bertambah baik

Keadaan banjir di beebrapa neger bertmabh baik. - Gambar hiasan
Keadaan banjir di beebrapa neger bertmabh baik. - Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Keadaan banjir di Sabah, Pahang dan Melaka bertambah baik dengan jumlah mangsa di pusat pemindahan sementara (PPS) semakin berkurangan pagi ini, daerah Segamat di Johor mencatatkan peningkatan mangsa manakala Negeri Sembilan tidak berubah.

Di Sabah, 55 orang daripada 15 keluarga masih berada di tiga PPS di Telupid dan Paitan pagi Jumaat berbanding 202 orang daripada 50 keluarga Khamis malam.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri memaklumkan dua PPS di Telupid iaitu Masjid Kampung Gana Jati menempatkan 15 orang daripada enam keluarga dan Dewan Kampung Maau menempatkan 20 orang daripada lima keluarga manakala PPS Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pamol di Paitan menempatkan 20 orang daripada empat keluarga.

Di Pahang, Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri memaklumkan setakat jam 8 pagi Jumaat, 782 orang masih berada di 22 PPS berbanding 933 orang di 27 PPS Khamis malam melibatkan daerah Temerloh, Pekan, Maran, Bera dan Rompin.

Beberapa jalan masih ditutup antaranya Jalan Triang 1 dan Felda Triang 1 di Bera, Jalan Ibam-Kampung Aur (Rompin), Jalan Teluk Ganchong Lepar (Pekan) dan Jalan Serengkam (Maran).

Laman sesawang publicinfobanjir.water.gov.my melaporkan paras air Sungai Bera dan Sungai Serting di Bera serta Sungai Pahang di Kuala Sungai Chini, Pekan kekal melebihi paras bahaya sejak Rabu.

Di Melaka, menurut InfoBencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), setakat jam 8 pagi, jumlah mangsa menurun sedikit dengan 406 orang berada di satu PPS di Alor Gajah dan tiga PPS di Jasin berbanding 408 orang Khamis malam.

Di Negeri Sembilan, berdasarkan laporan aplikasi InfoBencana JKM, mangsa banjir setakat jam 8 pagi kekal 69 orang daripada 17 keluarga di tiga PPS.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, di Johor, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, R Vidyananthan berkata, jumlah mangsa banjir meningkat sedikit kepada 4,496 orang setakat jam 8 pagi berbanding 4,065 orang pada Khamis malam.

“Segamat masih mencatatkan jumlah mangsa tertinggi iaitu 2,479 orang, Muar (1,058), Tangkak (905) dan Batu Pahat (54). Sebanyak 62 PPS masih beroperasi di empat daerah itu melibatkan keseluruhan 1,242 keluarga,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Vidyananthan berkata, Sungai Muar di Buloh Kasap dan Sungai Gemas di Muara Sungai Gemas, Segamat serta Sungai Muar di Panchor dan Sungai Muar di Bukit Kepong, Muar masih berada pada paras bahaya dengan trend penurunan.

Beliau berkata, Sungai Muar di Kampung Olak Sepam, Muar juga berada paras bahaya namun dengan trend tidak berubah. - Bernama