Polis siasat dakwaan kes tular dera kanak-kanak perempuan

Polis siasat dakwaan penderaan membabitkan seorang kanak-kanak perempuan yang dirakam dalam sebuah video tular pada Rabu.
Polis siasat dakwaan penderaan membabitkan seorang kanak-kanak perempuan yang dirakam dalam sebuah video tular pada Rabu.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis mengesahkan sedang menyiasat dakwaan penderaan membabitkan seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun yang dirakam berdiri di bahagian luar tembok beranda di sebuah kondominium di ibu negara.

Sebuah klip video berdurasi 17 saat dengan kapsyen 'Tolong viralkan, child abuse, lokasi Bukit Jalil' yang memaparkan kejadian tersebut dikesan tular di media sosial Twitter dan TikTok pada Rabu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisioner Saiful Annuar Yusoff berkata, pihaknya menerima laporan berkenaan video tular tersebut sekitar jam 4 petang pada Khamis.

"Tempat kejadian merupakan rumah nenek mangsa di mana keluarga mangsa telah pergi ke sana untuk membuat persiapan majlis perkahwinan kakak sulung bapa mangsa.

"Bapa mangsa mengatakan mangsa seorang yang 'hyperactive' dan mangsa telah keluar daripada beranda rumah tersebut kerana ingin melihat kolam mandi yang berada di tingkat bawah kondominium," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Beliau berkata, selepas lebih kurang tiga minit barulah ibu bapa mangsa yang berusia 31 dan 34 tahun berjaya memujuknya untuk masuk semula ke dalam rumah.

Dalam pada itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi dan menyebarkan berita dari sumber yang tidak sahih.

Saiful Annuar berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun, denda mencecah RM20,000 jika disabitkan kesalahan.

Artikel Berkaitan:

"Pihak polis juga meminta orang ramai untuk menyalurkan sebarang maklumat berkaitan jenayah ke hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2146 0584/585 atau mana-mana balai polis yang berdekatan," ujarnya.