Rebat RM400 pembelian barangan elektrik cekap tenaga

Takiyuddin Hassan
Takiyuddin Hassan
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Pemilik akaun elektrik domestik berdaftar dengan syarikat utiliti layak menikmati e-rebat sehingga RM400 menerusi program Sustainability Achieved via Energy Efficiency (SAVE 3.0).

Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, penyediaan inisiatif e-rebat itu bertujuan menggalakkan pengguna membeli peralatan elektrik cekap tenaga berlabel empat atau lima bintang oleh Suruhanjaya Tenaga (ST).

"SAVE 3.0 menawarkan lebih banyak pilihan peralatan elektrik," katanya dalam sidang akhbar di kementeriannya, pada Jumaat.

Menurutnya, terdapat dua kategori peralatan di bawah SAVE 3.0 iaitu kategori satu yang terdiri daripada peti sejuk dan penyaman udara.

"Televisyen, mesin basuh, ketuhar gelombang mikro dan periuk nasi adalah kategori dua," katanya.

Beliau berkata, bagi peralatan elektrik di bawah kategori satu, nilai e-rebat yang boleh ditebus untuk pembelian peti sejuk atau penyaman udara ialah RM200.

"Di bawah kategori dua pula, nilai e-rebat yang disediakan adalah RM200 bagi televisyen, RM200 bagi mesin basuh, RM100

bagi ketuhar gelombang mikro atau RM50 bagi periuk nasi," katanya.

Artikel Berkaitan:

Takiyuddin berkata, e-rebat itu terhad kepada satu akaun sahaja bagi pembelian dalam tahun 2022 berdasarkan kepada 'first come first serve basis'.

"Hanya warganegara Malaysia yang merupakan pemilik akaun elektrik tarif Tenaga Nasional Berhad (TNB), Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB), Sarawak Energy Berhad (SEB) dan NUR Power layak memohon.

"Penerima e-rebat bagi Program SAVE 2.0, tidak layak untuk memohon bagi kategori satu Program SAVE 3.0," katanya.

Tambahnya, SAVE 3.0 bakal memanfaatkan 140,00 isi rumah di seluruh negara.