Mangsa banjir di Johor kembali meningkat

Anggota APM membantu seorang lelaki OKU pulang ke rumah dari PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Air Papan, Mersing pada Khamis.
Anggota APM membantu seorang lelaki OKU pulang ke rumah dari PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Air Papan, Mersing pada Khamis.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Jumlah mangsa banjir di negeri ini kembali meningkat dengan 4,496 orang pada jam 8 pagi berbanding 4,343 orang pada jam 4 pagi Jumaat.

Exco Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri Johor, R Vidyananthan berkata, jumlah itu melibatkan 1,242 buah keluarga yang ditempatkan di 62 pusat pemindahan sementara (PPS).

Menurutnya, empat daerah yang masih terjejas adalah Segamat, Muar, Tangkak dan Batu Pahat manakala daerah lain kembali pulih.

"Segamat masih merekodkan jumlah mangsa banjir tertinggi di negeri ini dengan 2,479 mangsa, diikuti Muar (1,058 mangsa), Tangkak (905 mangsa) dan Batu Pahat (54 mangsa).

"Ramalan kaji cuaca daripada Jabatan Meteorologi Malaysia menunjukkan tiada amaran ribut petir di seluruh negara termasuk Johor hari ini manakala cuaca diramalkan cerah sepanjang hari," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Beliau bagaimanapun berkata, masih terdapat lima sungai di negeri ini yang menunjukkan amaran bahaya dengan trend menurun antaranya Sungai Muar dan Sungai Gemas.

"Ketika ini, masih terdapat 28 laluan yang terputus hubungan di seluruh negeri dan kita berharap rakyat akan terus mengambil langkah berhati-hati bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini berlaku.

"Orang ramai juga diingatkan agar sentiasa berhati-hati dan tidak bermain di kawasan banjir selain terus mematuhi prosedur operasi standard ditetapkan dalam norma baharu," katanya.

Artikel Berkaitan: