Apa kesudahan isu dakwaan terhadap Azam Baki

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Azam Baki -Foto Bernama
Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Azam Baki -Foto Bernama
A
A
A

KETUA Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki sebelum ini didakwa memiliki lebih RM4 juta saham dan waran dalam dua syarikat tersenarai sewaktu menjadi Pengarah Siasatan SPRM antara tahun 2015 dan 2016.

Bagaimanapun, ia akhirnya terjawab pada Rabu apabila Pengerusi Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR), Tan Sri Abu Zahar Ujang memaklumkan bahawa pemilikan saham yang menjadi pertikaian itu sebenarnya adalah milik adik Azam iaitu Nasir Baki.

Justeru, Abu Zahar menjelaskan, tiada sebarang perlakuan jenayah atau ‘conflict of interest’ (konflik kepentingan) dalam perkara tersebut.

Namun, kenyataan yang dikeluarkan oleh Azam dikatakan mendedahkan lebih banyak masalah dalam agensi tersebut.

Pada Khamis, pakar ekonomi, Profesor Dr Edmund Terence Gomez dalam satu kenyataan mendakwa, kenyataan kedua-dua individu tersebut menimbulkan lebih banyak persoalan berbanding jawapan serta menimbulkan 'kebimbangan yang amat mendukacitakan' berkaitan kepentingan perniagaan milik Azam.

Beliau berkata, ramai yang mengharapkan jawapan lebih jelas daripada Abu Zahar berhubung dakwaan serius terhadap Azam berkaitan pemilikan saham bernilai jutaan ringgit.

“Banyak yang diharapkan daripada sidang akhbar itu kerana Abu Zahar telah berjanji untuk menjelaskan mengapa beliau tidak mengambil tindakan apabila dakwaan serius mengenai kepentingan perniagaan Azam dibawa kepada perhatiannya.

“Banyak juga yang diharapkan daripada Azam kerana dia tidak bercakap secara terbuka mengenai dakwaan ini sejak pertama kali muncul beberapa bulan lalu,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Selain itu, Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) akan berhubung dengan Azam dan pihak berkaitan bagi mendapatkan penjelasan lanjut mengenai kontroversi pemilikan saham tersebut.

Langkah itu diambil bertujuan mengesahkan kenyataan yang dibuat pemimpin tertinggi agensi antirasuah itu sebelum ini, selain mengumpul bukti-bukti berkaitan.

SC dalam kenyataan pada Khamis menjelaskan, di bawah seksyen 25 Akta Perindustrian Sekuriti (Depositori Pusat) 1991 (SICDA), setiap akaun sekuriti yang dibuka dengan depositori pusat mestilah atas nama pemilik benefisial sekuriti yang didepositkan atau atas nama penama yang diberi kuasa.

Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (Pembela) turut menggesa Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jawatankuasa Khas Parlimen diberikan laluan untuk melakukan siasatan secara menyeluruh serta telus terhadap kes melibatkan SPRM termasuk Azam.

Pengerusi Pembela, Aminuddin Yahaya turut berpandangan, Azam perlu meletakkan jawatan atau paling kurang bercuti sepanjang siasatan dijalankan terhadapnya.

Sementara itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob juga disarankan mengambil langkah segera mewujudkan siasatan secara bebas dan terbuka terhadap isu melibatkan pegawai tertinggi SPRM.

Ketua Pemuda Pas, Ahmad Fadhli Shaari berkata, ia bagi memastikan ketelusan dalam siasatan serta membuktikan keseriusan kerajaan dalam menegakkan kedaulatan undang-undang.

Tidak ketinggalan, Ahli Parlimen Pulai, Datuk Seri Salahuddin Ayub menghantar surat bagi mengemukakan usul tergempar berkaitan isu berkenaan supaya ia dibahaskan dalam persidangan Parlimen.

Surat pemakluman usul tersebut bertarikh 5 Januari 2022 dan disampaikan kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun.