KPI pengendali baharu Harimau Malaya harus realistik

Wan Jamak
Wan Jamak
A
A
A

PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) dinasihat tidak meletakkan petunjuk prestasi utama (KPI) terlalu tinggi kepada ketua jurulatih baharu Harimau Malaya yang bakal dilantik kelak.

Perkara tersebut disuarakan oleh bekas pengendali skuad kebangsaan, Wan Jamak Wan Hassan yang melihat KPI itu harus selari dengan apa yang mampu diberikan badan induk berkenaan kepada pengendali baharu.

Beliau berkata, FAM perlu menilai sejauh mana kemampuan dimiliki jurulatih terbabit untuk kembali ‘mengasah’ taring Harimau Malaya yang tampak semakin tumpul.

“Kalau FAM meletakkan KPI yang agak tinggi kepada seseorang jurulatih itu tetapi tidak mampu memberi apa yang mereka mahu, jadi ia satu benda yang sia-sia.

“Pada pendapat peribadi saya, kalau nak letak sesuatu KPI untuk bakal ketua jurulatih negara, ia perlulah realistik dan selaras dengan apa yang mampu kita beri kepada dia.

“KPI terbaik yang boleh diletakkan adalah sejauh mana jurulatih itu boleh adapt dengan sistem permainan yang dimahukan FAM dan juga cara untuk ubah mentaliti pemain negara,” katanya kepada Sukan Sinar pada Rabu.

Ditanya mengenai cadangan setengah pihak ketua jurulatih baharu turut memikul tugas mengemudi skuad muda negara, Wan Jamak berkata, ia satu mekanisme terbaik dalam usaha meningkatkan kualiti Harimau Malaya.

“Seingat saya dulu ketika Malaysia dilatih Datuk K Rajagobal, beliau adalah orang pertama yang ditugaskan untuk mengemudi ketiga-ketiga pasukan iaitu Malaysia A, B dan C.

Artikel Berkaitan:

“Jadi ketiga-tiga pasukan itu apabila berada di bawah bimbingan seorang jurulatih, ia akan ada kesinambungan sistem kejurulatihan. Malah, saya lihat itu akan beri kelebihan buat jurulatih untuk memilih pemain yang dimahukan,” ujarnya.