Kerajaan Terengganu sedia 21,977 peluang kerja sejak 2018

Mohd Nurkhuzaini. - Foto Bernama
Mohd Nurkhuzaini. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Kerajaan negeri Terengganu menyediakan sebanyak 21,977 peluang pekerjaan sejak mengambil alih tampuk pemerintahan negeri ini selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada tahun 2018.

Exco Keusahawanan, Sumber Manusia, Industri Mikro dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman berkata, jumlah itu sekali gus berjaya melepasi sasaran menyediakan 20,000 peluang pekerjaan seperti yang dijanjikan PAS dalam manifesto parti itu.

"Angka ini (21,977 peluang pekerjaan) adalah data Pusat Pembangunan Sumber Manusia Terengganu (THRDC) yang dikongsikan daripada Jabatan Tenaga Kerja dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

"Daripada jumlah itu, sebanyak 10,122 penempatan pekerjaan telah dibuat di Terengganu pada tahun 2019, diikuti 3,487 pekerjaan pada tahun 2020 dan 8,368 pekerjaan sehingga Oktober lepas," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Kenyataan itu dibuat susulan dakwaan pembangkang kononnya kerajaan negeri gagal mencapai sasaran manifesto tersebut.

Mengulas lanjut, Mohd Nurkhuzaini yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Putera berkata, sehingga 10 Disember lepas, masih terdapat 8,917 kekosongan jawatan aktif di Terengganu yang boleh diisi oleh rakyat di negeri ini.

"Ini semua adalah hasil usaha serius semua pihak terutama THRDC yang bekerjasama erat dengan agensi kerajaan Persekutuan seperti Perkeso dan Jabatan Perangkaan Negara untuk berkongsi data yang lebih terperinci dan bersasar dalam mengatasi masalah pengangguran.

"Walaupun pasaran buruh merosot teruk akibat pandemik Covid-19 yang melanda seluruh dunia, kadar pengangguran di negeri ini masih terkawal pada kadar 4.1 peratus pada 2020 dan antara 3.7 peratus hingga 4.4 peratus pada suku pertama hingga suku ketiga tahun 2021," katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan: