9,646 individu ditahan disyaki terlibat kes penipuan Macau Scam

Mohd Kamarudin Md Din
Mohd Kamarudin Md Din
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seramai 9,646 individu ditahan disyaki terlibat kes penipuan Macau Scam pada tahun lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Datuk Mohd Kamarudin Md Din berkata, sepanjang tahun lalu, sebanyak 1,585 kes Macau Scam telah disiasat melibatkan kerugian lebih RM560 juta.

"Kumpulan sindiket yang dikenal pasti ini turut melibatkan rangkaian di luar negara, ia menyukarkan tindakan pembanterasan dilaksanakan secara menyeluruh," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Mohd Kamarudin berkata, pihaknya turut mengesan taktik terbaharu sindiket Macau Scam yang memperdaya mangsa dengan menyatakan mereka layak untuk menerima insentif atau bantuan daripada kerajaan.

"Mangsa akan menerima panggilan daripada sindiket Macau Scam yang menyatakan mereka layak untuk menerima bantuan kerajaan," katanya.

Beliau berkata, mangsa kemudian akan diminta untuk menyerahkan butiran peribadi dan kata laluan perbankan dalam talian kononnya untuk memudahkan proses pembayaran bantuan tersebut.

"Setelah butiran peribadi dan kata laluan diberikan, mangsa mendapati wang dalam akaun mereka berkurangan," katanya.

Kamarudin berkata, melalui pemantauan, sindiket Macau Scam didapati kerap mengubah modus operandi untuk memperdaya mangsa.

Artikel Berkaitan:

"Sindiket Macau Scam turut dikesan menggunakan modus operandi iaitu menyamar sebagai pegawai dari agensi penguat kuasa (polis, mahkamah dan Bank Negara)," katanya.

Beliau berkata, mangsa yang dihubungi oleh sindiket akan dimaklumkan bahawa akaun bank mereka sedang disiasat dan wang mereka akan dibekukan atau hilang.

"Bagi mengelakkan perkara ini, mangsa akan diminta untuk membuka akaun bank baharu dan mengaktifkan kemudahan perbankan dalam talian dengan mendaftarkan nombor telefon yang diberikan oleh pihak sindiket.

"Setelah mangsa mengikut semua arahan yang diberikan, mangsa akan mendapati wang dalam akaun berkurangan," katanya.

Mohd Kamarudin berkata, sebarang maklumat perbankan seperti butiran peribadi, kata laluan dan nombor telefon adalah data yang amat penting dan sulit.

"Maklumat-maklumat ini sama sekali tidak boleh dimaklumkan kepada orang lain khususnya individu yang tidak dikenali.

"Pihak polis juga tidak pernah meminta maklumat sebegini dalam menjalankan siasatan," katanya.

Beliau berkata, dalam usaha membanteras kes-kes penipuan itu, orang ramai perlu sentiasa berwaspada dan peka dengan modus operandi yang digunakan oleh penjenayah.

"Sebarang kemusykilan mahupun nasihat berkaitan jenayah komersial, orang ramai bolehlah berhubung dengan pihak polis melalui CCID Scam Response Center di talian 03-2610 1559/1599," katanya.