SKS Airways terima lesen perkhidmatan udara penuh

SKS Airways Sdn Bhd.
SKS Airways Sdn Bhd.
A
A
A

SKS Airways Sdn Bhd, syarikat penerbangan komersial terbaharu di Malaysia, telah diberikan Lesen Perkhidmatan Udara (ASL) secara penuh oleh Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) berkuat kuasa 1 Januari 2022.

Dalam satu kenyataan pada Khamis, Pengarahnya Datuk Rohman Ahmad berkata, dengan memiliki ASL, SKS Airways kini secara rasmi boleh memulakan perniagaan dan bersedia untuk melancarkan operasi penerbangan dalam masa terdekat.

“Dalam tempoh dua tahun kebelakangan ini, ia adalah masa yang sukar untuk industri penerbangan dan pelancongan akibat pandemik Covid-19. Walau bagaimanapun, kami menjangkakan bahawa peluang akan mula terbuka secara perlahan-lahan.

“Kami di SKS Airways telah bekerja keras dalam tempoh ini untuk memperkenalkan syarikat penerbangan komersial baharu yang memfokuskan kepada destinasi laluan yang tidak mendapat liputan dan kurang mendapat perkhidmatan,” katanya.

Rohman berkata, SKS Airways tidak sabar untuk memberi perkhidmatan kepada pelanggan sambil mengekalkan standard kebersihan dan keselamatan yang tertinggi.

Pelanggan boleh menempah penerbangan di www.sksairways.com kerana syarikat penerbangan itu akan mula menerima tempahan penerbangan.

SKS Airways, anak syarikat SKS Group, ialah syarikat penerbangan komersial berjadual terbaharu di Malaysia yang diberikan ASL penuh, yang mana ia diperlukan untuk membawa penumpang, mel atau kargo mengikut jadual tetap melalui udara di antara dua tempat, selagi ia dalam sempadan Malaysia.

ASL hanya akan dikeluarkan kepada pemohon yang memegang Sijil Operator Udara (AOC) yang sah oleh Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM), yang diterima oleh SKS Airways pada 1 Oktober 2021. - Bernama

Artikel Berkaitan: