123 lagi kes Omicron, tujuh jangkitan tempatan di Sarawak

Khairy Jamaluddin - Foto Bernama
Khairy Jamaluddin - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Sebanyak 123 kes positif Covid-19 disahkan varian Omicron pada Khamis.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, daripada jumlah itu sebanyak 88 kes merupakan dari Arab Saudi.

Menurutnya, penjujukan genom penuh (WGS) turut mengesan tujuh kes tempatan di Sarawak.

"Jumlah kumulatif kes positif Covid-19 yang dikesan varian Omicron di negara ini adalah 245 kes.

"Daripada jumlah ini, 233 kes merupakan jangkitan luar luar negara manakala 12 lagi penularan tempatan," katanya pada sidang akhbar di Parlimen.

Khairy berkata, daripada keseluruhan kes varian Omicron yang dilaporkan, sebanyak 157 kes atau 64.08 peratus merupakan jemaah umrah.

"KKM ingin mengingatkan agar individu yang diarahkan menjalani kuarantin wajib di tempat kediaman atau rumah untuk terus mematuhi arahan kekal dalam bilik berasingan dan tidak bertemu dengan orang lain.

"Kegagalan mematuhi arahan itu akan menyebabkan penularan jangkitan Covid-19 termasuk varian Omicron kepada ahli keluarga dan dalam komuniti.

Artikel Berkaitan:

"KKM juga menyarankan kepada individu yang layak menerima vaksin Covid-19 supaya mendapatkan dos penggalak bagi mencapai tahap perlindungan yang optimum serta mengelakkan jangkitan teruk serta komplikasinya," katanya.

Mengulas mengenai tujuh kes baharu Omicron di Sarawak, beliau berkata, tiga kes daripadanya merupakan seorang bapa dan dua anak yang pulang dari bercuti di Kedah serta Pulau Pinang pada Disember lalu.

"Ibu kepada dua orang anak tersebut dikategorikan sebagai Presumptive Omicron dan sedang menunggu keputusan jujukan genom.

"Setelah mereka balik dari bercuti, kes-kes ini telah menjangkiti nenek kepada dua orang anak tersebut yang turut disahkan Omicron," katanya.

Khairy berkata, satu kes telah menjalani ujian saringan di klinik swasta kerana demam dan didapati positif Omicron.

"Bapa kepada kes tersebut merupakan kontak rapat yang juga turut dijangkiti varian sama.

"Kedua-dua kes tidak mempunyai sejarah keluar ke negara lain dalam tempoh inkubasi atau terdedah kepada kes positif varian Omicron," katanya.

Katanya, satu kes Omicron juga dikesan ketika kes membuat saringan sebelum balik ke negara tempat dia bekerja.

"Kes tidak mempunyai sejarah keluar ke negara lain dalam tempoh inkubasi.

"Kes dikategorikan sebagai kes jangkitan tempatan dan punca jangkitan belum dapat dikenal pasti," katanya.