KKM lulus vaksin Comirnaty kanak-kanak bawah 12 tahun

Dr Noor Hisham
Dr Noor Hisham
A
A
A

SHAH ALAM - Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) meluluskan pendaftaran bersyarat bagi produk vaksin keluaran Pfizer iaitu ‘Comirnaty 10mcg Concentrate for Dispersion for Injection’ yang akan digunakan bagi imunisasi kanak-kanak berumur 5 hingga 11 tahun.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, vaksin sediaan itu mempunyai kekuatan lebih rendah berbanding vaksin Comirnaty yang diberikan kepada individu berusia 12 tahun dan ke atas.

Beliau berkata, Mesyuarat Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) kali ke-368 yang bersidang pada Khamis juga memberi kelulusan bersyarat kepada vaksin formulasi baharu ‘Comirnaty (Tris/Sucrose) 30mcg Solution for Inject.

“Ia merupakan vaksin Corminaty dengan formulasi baharu yang tidak memerlukan pencairan (dilution) sebelum administrasi dan mempunyai tempoh jangka hayat yang lebih panjang, iaitu 10 minggu berbanding formulasi sedia ada (1 bulan) apabila disimpan pada suhu 2 hingga 8 darjah Celsius setelah dinyahbeku.

“Indikasi Comirnaty (Tris/Sucrose) 30mcg Solution for Injection ini adalah untuk imunisasi Covid-19 kepada individu berumur 12 tahun dan ke atas,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Dr Noor Hisham turut memaklumkan pemegang pendaftaran bagi kedua-dua vaksin Comirnaty tersebut ialah Pfizer (Malaysia) Sdn Bhd dan ia dikilangkan oleh BioNTech Manufacturing GmbH, Jerman.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan, PBKD turut memberikan kelulusan bersyarat bagi penggunaan vaksin ‘Convidecia Recombinant Novel Coronavirus Vaccine (Adenovirus Type 5 Vector) Solution for Injection’ sebagai dos penggalak kepada individu berumur 18 tahun dan ke atas.

Katanya, produk dos penggalak itu akan diberikan dengan sela masa tiga hingga enam bulan selepas penerima mendapat dos pertama daripada vaksin yang sama.

Artikel Berkaitan:

Menurut Dr Noor Hisham, pemegang pendaftaran bagi vaksin penggalak itu ialah Solution Biologics Sdn Bhd dan ia dikilangkan oleh CanSino Biologics Inc, China.