Penduduk Kampung Baru Pulau Tiga ditawar PPRT Paya Nahu

Muhammad Sanusi. - Foto Bernama
Muhammad Sanusi. - Foto Bernama
A
A
A

ALOR SETAR - [DIKEMASKINI] Kerajaan negeri Kedah menawarkan Flat Paya Nahu, Sungai Petani kepada penduduk Kampung Baru Pulau Tiga, Sungai Layar yang diarahkan Mahkamah Tinggi Alor Setar untuk mengosongkan rumah mereka.

Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, beberapa opsyen dibentangkan bagi menyelesaikan isu penduduk Pulau Tiga yang mendiami tanah milik individu dalam Mesyuarat Exco Kedah pada Rabu.

Menurutnya, pilihan terbaik yang diputuskan dalam mesyuarat untuk 30 keluarga yang mendiami tanah tersebut adalah tawaran penempatan baharu iaitu di perumahan awam tersebut.

"Kita dapati flat terbabit ada kekosongan sebanyak 40 unit dan hanya 30 unit sahaja diperlukan, yang mana daripada jumlah itu terdapat tiga unit yang memerlukan pembaikan.

"Jadi, kerajaan negeri akan membaiki kediaman berkenaan melibatkan kos pembaikan sebanyak RM10,000 untuk satu unit," katanya kepada pemberita ketika sidang akhbar pada Khamis.

Sebelum itu berlangsung Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman antara Perbadanan Menteri Besar Kedah (MBI) dengan Universiti Sains Malaysia (USM), Permodalan Kedah Berhad (PKB), Hayun Land Sdn Bhd, MHC Trading dan Kedah Agro Holding Berhad di Wisma Darul Aman di sini.

Dalam pada itu, Muhammad Sanusi berkata, peruntukan sebanyak RM150,000 diperlukan untuk keseluruhan projek bagi menempatkan semula penduduk Pulau Tiga melibatkan kerja-kerja penyelenggaraan unit rumah flat terlibat.

Sehubungan itu, katanya, penduduk boleh menduduki rumah berkenaan dalam tempoh masa terdekat sekiranya tidak memiliki kediaman lain dengan tawaran bayaran sewa sebanyak RM124 sebulan.

Artikel Berkaitan:

"Sebanyak 25 unit kediaman sudah siap sedia untuk diduduki, manakala 15 lagi memerlukan penambahbaikan namun kita cuma perlukan 30 unit kediaman. Insya-ALLAH kerajaan akan baik pulih, itulah tawaran kerajaan.

"Saya menerima laporan ada antara mereka memiliki rumah lain, namun ada yang tidak memiliki tawaran maka saya serahkan kepada mereka dan mana-mana yang terima boleh masuk perumahan awam ini apabila kerja baik pulih selesai," katanya.

Sementara itu, ketika diminta mengulas mengenai cadangan pemberian tapak tanah, Muhammad Sanusi berkata, cadangan itu sekadar salah satu opsyen namun terdapat pilihan lebih baik yang boleh masuk segera iaitu di Flat Paya Nahu.

"Proses untuk memiliki tanah kerajaan amat lambat, sedangkan penduduk mendapat penangguhan selama dua minggu, yang mana tidak sempat untuk menguruskan proses ini. Jadi lebih baik, lebih cepat dan lebih selamat adalah Flat Paya Nahu," katanya.

Dalam perkembangan lain, Muhammad Sanusi mendedahkan tanah-tanah di sekitar kawasan berkenaan dikhuatiri telah menjadi mangsa sindiket jual tanah lot yang tidak sah.

"Ada sindiket di kawasan tersebut yang menjual tanah orang dengan membuat plot tanah sebelum menjual kepada orang lain dan ada orang membeli, namun tidak pasti sejarahnya macam mana.

"Sebelum ini, kerajaan pernah mengambil tindakan untuk mengosongkan tanah berkenaan apabila ia dijual, namun apabila ia tanah individu maka dia ada hak bawa ke mahkamah untuk dapatkan semula tanah berkenaan," katanya.

Tambah beliau, kerajaan negeri memandang serius sindiket yang membuat plot tanah-tanah kerajaan untuk dijual secara tidak sah dan pembeli dinasihatkan supaya memastikan tanah yang akan dibeli merupakan tanah sah status.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan penduduk Kampung Baru Pulau Tiga, Sungai Layar, Jalan Lencongan Darat, Sungai Petani menyerahkan memorandum kepada Pejabat Sultan Kedah, Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah di sini pada Khamis.

Ia bagi memohon bantuan mempertahankan hak apabila penduduk bakal kehilangan tempat tinggal selepas diarah mengosongkan rumah masing-masing melalui satu notis arahan Mahkamah Tinggi Alor Setar.