Koordinasi banjir empat negeri memuaskan: Hishammuddin

Hishammuddin (dua dari kanan) bersama Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar (dua dari kiri) ketika sidang akhbar khas Ops Murni ATM di Terengganu pada Khamis.
Hishammuddin (dua dari kanan) bersama Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar (dua dari kiri) ketika sidang akhbar khas Ops Murni ATM di Terengganu pada Khamis.
A
A
A

KUALA NERUS - Koordinasi antara Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di empat negeri yang dilanda bencana banjir iaitu Pahang, Kelantan, Terengganu dan Johor berjalan lancar dan memuaskan.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, kerjasama yang baik antara agensi berkenaan bersama kepimpinan di peringkat negeri melancarkan proses pengurusan bencana di kawasan terjejas.

"Saya telah meninjau situasi banjir di Kelantan, Johor, Pahang dan hari ini di Terengganu, saya dapati kerjasama pihak ATM dan kepimpinan negeri berada pada tahap yang cukup membanggakan.

"Ia sekali gus memudahkan kita untuk berdepan dengan sebarang bencana bukan sahaja banjir termasuk Covid-19 dan sebagainya," katanya ketika ditemui pemberita ketika sidang akhbar khas Ops Murni ATM di Terengganu pada Khamis.

Menurut Hishammuddin, gabungan aset milik ATM dan setiap agensi amat membantu bagi melancarkan pengurusan mangsa banjir.

"Koordinasi yang baik antara Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) daerah dan negeri bersama ATM, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta setiap agensi berjalan lancar.

"Ia sekali gus melancarkan operasi memindahkan mangsa banjir ke kawasan selamat khususnya ke pusat pemindahan sementara (PPS) serta mengagihkan makanan dan keperluan ke PPS serta kawasan yang terputus hubungan jalan darat," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, hampir 4,000 pegawai dan anggota ATM telah digerakkan ke setiap negeri yang dilanda banjir.

Artikel Berkaitan:

"Setakat ini, seramai 204 pegawai dan 3,654 anggota telah digerakkan ke negeri-negeri yang dilanda bencana banjir.

"Ia turut dibantu 474 aset merangkumi 18 trak (tujuh tan) 173 trak (tiga tan), 29 trak (satu tan), 131 bot, 111 enjin bot, empat helikopter dan lapan lain-lain jenis aset," katanya.

Hishammuddin berkata, selain menumpukan operasi banjir di kawasan masih terjejas ATM turut membantu mangsa banjir yang berdepan cabaran pasca banjir.

"Fokus ATM yang seterusnya ialah melaksanakan kerja pembersihan pasca banjir berskala besar di negeri-negeri yang terjejas seperti kerja-kerja pembersihan, baik pulih infrastruktur jalan, rumah dan sebagainya.

"Kita juga membantu Kementerian Kesihatan melakukan ujian pengesanan Covid-19 bagi memastikan tiada berlaku penularan terutama melibatkan varian Omicron ketika ini," katanya.