X

Kindly register in order to view this article
!

Selasa | 05 Julai 2022

Penganggur ditahan disyaki curi papan tanda sejarah Green Ridge

Papan tanda maklumat tentang sejarah perang Kampar (gambar kanan) yang kini telah hilang akibat dicuri pihak tidak bertanggungjawab. - Foto Awani/ Facebook Shaharom Ahmad
A
A

KAMPAR - Polis menahan seorang penganggur pada Rabu kerana disyaki mencuri papan tanda informasi Perang Dunia Kedua ‘Battle of Kampar’ di Green Ridge di sini baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Kampar, Superintendan Mohamad Nazri Daud berkata, lelaki berusia lingkungan 30-an itu ditahan di sekitar daerah ini pada kira-kira 5 petang.

“Hasil soal siasat, suspek mengaku mula aktif mencuri besi-besi di tepi jalan sekitar Kampar sejak seminggu lepas,” katanya ketika dihubungi Bernama pada Khamis.

Beliau berkata, polis kini sedang memburu dua lagi lelaki berusia lingkungan 40-an yang dipercayai bersama-sama penganggur itu menjalankan kegiatan jenayah berkenaan.

Katanya kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Perak Datuk Nolee Ashilin Mohamed Radzi berkata, aset awam seperti papan tanda Perang Dunia Kedua ‘Battle of Kampar’ di Green Ridge itu sepatutnya dipelihara dan bukannya dicuri.

Beliau berkata, semua pihak perlu memainkan peranan memelihara aset-aset awam yang mempunyai nilai sejarah dan maklumat serta bermanfaat sebagai bahan rujukan generasi akan datang.

“Kerajaan Perak amat kesal dengan kejadian kecurian papan tanda yang disumbang oleh persatuan (Persatuan Kumpulan Sejarah Malaya (MHG).

“Sepatutnya masyarakat perlu memainkan peranan bersama untuk memelihara aset-aset awam,” katanya kepada Bernama.

Pengerus MHG Shaharom Ahmad sebelum ini memaklumkan kepada Bernama pihaknya kesal dengan tindakan pihak yang mencuri papan tanda tersebut, tanpa menghayati elemen dan nilai sejarah yang ada berkaitan pertempuran itu.

Beliau berkata kehilangan papan tanda informasi yang dipasang di Jalan Ipoh-Kampar itu disedari oleh ahli persatuan yang melalui kawasan tersebut Isnin lepas. - Bernama


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!