Salahuddin hantar usul bahas isu Azam Baki di Parlimen

Salahuddin
Salahuddin
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Ahli Parlimen Pulai, Datuk Seri Salahuddin Ayub menghantar surat bagi mengemukakan usul tergempar berkaitan dakwaan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki memiliki saham dengan jumlah yang melampau supaya ia dibahaskan dalam persidangan Parlimen.

Surat pemakluman usul tersebut bertarikh 5 Januari 2022 dan disampaikan kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun. Dalam surat pemakluman usul berkenaan, Salahuddin menyatakan bahawa isu tersebut adalah berkenaan kepentingan orang ramai dan perlu disegerakan, selari dengan peruntukan Peraturan Mesyuarat 18(1)(2).

“Perkara ini perlu disegerakan untuk menggesa Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) melakukan siasatan dengan lebih lanjut terhadap dakwaan Ketua Pesuruhjaya SPRM memiliki saham dengan jumlah yang melampau seperti dilaporkan oleh akhbar rasmi.

“Ini adalah perkara berkenaan dengan kepentingan orang ramai untuk mengembalikan keyakinan orang awam terhadap SPRM bagi mengekang aktiviti rasuah atau segala aktiviti yang menjerumus kepada pecah amanah yang mana kerajaan bertanggungan untuk menjawab perkara ini,” katanya dalam surat tersebut.

Menurut Salahuddin, usul berkenaan harus dibahaskan pada sidang Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Parlimen ke-14, sehari selepas Titah Diraja pada 1 Mac 2022.

Sebelum ini, Azam didakwa memiliki lebih RM4 juta saham dan waran dalam dua syarikat tersenarai sewaktu menjadi Pengarah Siasatan SPRM antara tahun 2015 dan 2016.

Bagaimanapun, pada Rabu, Pengerusi LPPR, Tan Sri Abu Zahar Ujang memaklumkan, bahawa pemilikan saham yang menjadi pertikaian itu sebenarnya adalah milik adik Azam iaitu Nasir Baki.

Artikel Berkaitan: