Usaha baiki sistem komunikasi, wujudkan sistem amaran awal bencana

Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa ketika menyampaikan amanat kepada kakitangan Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) pada Majlis Amanat Tahun Baharu 2022 KKMM di Auditorium Perdana, Angkasapuri, hari ini. 

- Foto Bernama
Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa ketika menyampaikan amanat kepada kakitangan Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) pada Majlis Amanat Tahun Baharu 2022 KKMM di Auditorium Perdana, Angkasapuri, hari ini. 

- Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Kerajaan akan mewujudkan pasukan tindakan khas (task force) bagi menggubal sistem komunikasi dan mewujudkan sistem amaran awal bencana yang lebih pantas dan berkesan kepada rakyat.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa berkata, perkara itu akan dibincangkan secara terperinci oleh Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) bersama agensi terlibat, termasuk Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) serta Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).

“Jemaah Menteri berpandangan bahawa sistem komunikasi dan penyampaian maklumat akhir kepada rakyat perlu diperbaiki.

“Sebab itu kita akan baiki sistem termasuk mengguna pakai konsep sistem pesanan ringkas (SMS) ‘blasting’ supaya di kawasan terkesan dapat kita sampaikan amaran awal secara tepat dan cepat,” katanya pada sidang media selepas Majlis Amanat Tahun Baharu 2022 KKMM di Angkasapuri pada Khamis.

Annuar dalam amanatnya sebelum itu mengaku terdapat kelemahan dalam kaedah penyampaian maklumat yang pantas semasa kecemasan ketika ini.

Namun menurutnya teguran dan kritikan perlu dijadikan asas untuk memperbaiki prestasi dan mencari jalan serta ikhtiar memastikan sistem penyampaian maklumat dapat diterima rakyat.

Mengenai bantuan banjir, Annuar berkata, kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob antara paling proaktif dan pantas dalam mengambil tindakan terhadap bencana banjir yang melanda negara.

Beliau berkata, Ops Bantu Hingga Selesai (Ops BAHIS) di bawah KKMM adalah antara program terbaik yang dilihat giat membantu mangsa banjir serta memberi impak mendalam kepada mangsa.

Artikel Berkaitan:

“Bencana banjir yang berlaku ini membuka ruang kepada semua pihak untuk meningkatkan komitmen sebagai satu Keluarga Malaysia dalam berganding bahu membantu meringankan beban mangsa banjir,” katanya.

Mengenai isu pelaksanaan teknologi 5G, Annuar memberi jaminan perkara itu akan ditangani secara objektif tanpa sebarang niat dan kecenderungan kepada mana-mana pihak.

Kertas cadangan mengenai pelaksanaan itu sedang diselaraskan dengan Kementerian Kewangan sebelum dibawa kepada Jemaah Menteri untuk dibincangkan serta dibuat ketetapan berhubung teknologi 5G di negara ini.

“Insya-ALLAH akan diselesaikan dengan baik dalam tahun ini juga dan terus gerak ke hadapan untuk tingkatkan keberkesanan mutu teknologi maklumat termasuk 5G di negara ini,” katanya - Bernama