Bursa Malaysia dibuka rendah

Bursa Malaysia dibuka rendah pada Khamis, sejajar dengan pasaran serantau.
Bursa Malaysia dibuka rendah pada Khamis, sejajar dengan pasaran serantau.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Bursa Malaysia dibuka rendah pada Khamis, sejajar dengan pasaran serantau, berikutan sentimen yang lemah menjejaskan minat pelabur untuk mengambil risiko, kata peniaga.

Pada jam 9.09 pagi, petunjuk pasaran FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) merosot 5.4 mata kepada 1,542.55 daripada 1,547.95 Rabu.

Indeks dibuka rendah 1.49 mata kepada 1,546.46.

Dalam pasaran secara menyeluruh, kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 286 berbanding 94 manakala 244 kaunter tidak berubah, 1,649 tidak diniagakan dan 15 yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 198.58 juta unit bernilai RM94.34 juta.

Malacca Securities Sdn Bhd berkata, sentimen dalam bursa tempatan dijangka menjadi berhati-hati pada Khamis, menjejaki prestasi negatif di Wall Street semalaman berikutan minit mesyuarat Rizab Persekutuan Amerika Syarikat pada Disember, yang menunjukkan sentimen lebih menyokong kepada kenaikan kadar dan pasaran mungkin menjangka kenaikan kadar yang lebih pantas dan kemajuan pengurangan yang lebih cepat.

Firma penyelidikan itu percaya harga minyak sawit mentah (MSM) yang meningkat berikutan kebimbangan mengenai gangguan bekalan disebabkan banjir akan terus memberi sokongan kepada saham perladangan.

“Selain itu, kaunter minyak dan gas dijangka menjadi tumpuan berikutan harga minyak mentah yang diniagakan tinggi melebihi paras AS$80 setong. Selain itu, peniaga mungkin kembali kepada nilai saham dengan Fed AS menyokong kenaikan kadar,” katanya dalam nota penyelidikan.

Artikel Berkaitan:

Harga MSM berada pada sekitar RM5,000 satu tan manakala harga minyak mentah meningkat melebihi paras AS$80 setong.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank merosot tiga sen kepada RM8.32, Public Bank susut satu sen kepada RM4.16, Petronas Chemicals berkurangan enam sen kepada RM8.72, CIMB turun dua sen kepada RM5.45 manakala IHH Healthcare tidak berubah pada RM6.86.

Daripada saham aktif, Dagang Nexchange merosot satu sen kepada 83 sen, Opcom naik satu sen kepada 96 sen manakala Pasukhas dan SMTrack, masing-masing tidak berubah pada 2.5 sen dan 26 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas merosot 30.28 mata kepada 11,219.47, Indeks FBM Emas Shariah berkurangan 34.7 mata kepada 12,067.42, FBM ACE jatuh 73.06 mata kepada 6,610.88, FBM 70 susut 38.29 mata kepada 14,328.72 dan Indeks FBMT 100 merosot 36.05 mata kepada 10,900.82.

Mengikut sektor, Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan berkurangan 1.1 mata kepada 201.26, Indeks Perkhidmatan Kewangan merosot 36.79 mata kepada 15,676.1 dan Indeks Perladangan susut 20.27 mata kepada 6,634.15. - Bernama