Dua beradik pecah rumah dicekup

PDRM
PDRM
A
A
A

KOTA BHARU - Dua beradik dicekup dalam dua serbuan berasingan di sini kerana disyaki terbabit kes pecah rumah dan mencuri di sebuah taman perumahan di Kubang Kerian pada Selasa.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat berkata, suspek berusia 31 dan 37 tahun itu ditahan pada jam 5.20 petang.

"Suspek masing-masing ditahan di pekarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu dan kawasan belakang salah sebuah hotel di sini," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Rabu.

Beliau berkata, penahanan kedua-dua suspek itu bagi membantu siasatan berhubung kejadian tersebut.

"Semakan mendapati kedua-dua suspek mempunyai beberapa rekod lampau berkait jenayah dan dadah," katanya.

Shafien berkata, dalam kejadian kira-kira jam 3.45 petang Isnin, sepasang suami isteri yang ketika itu berada di rumah dikejutkan dengan kedatangan dua lelaki yang dikenali masing-masing menaiki kereta kereta jenis Perodua Myvi dan motosikal.

"Kedua-dua lelaki itu bertindak mengetuk pintu rumah. Suspek memberitahu mereka akan bertindak memecahkan pintu sekiranya mangsa tidak membukanya.

"Mangsa yang berada dalam keadaan takut tidak membuka pintu hadapan rumah. Bagaimanapun suspek bertindak memecahkan pintu tingkap dan kemudian masuk untuk membuka pintu hadapan rumah," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, semasa pintu dibuka, kedua-dua suspek telah melulu masuk dan memukul mangsa menggunakan tangan di bahagian kepala.

Katanya, salah seorang suspek kemudian keluar dari rumah untuk mengambil topi keledar dan memukul bahagian kepada mangsa.

"Suspek kemudian telah merosakkan barang-barang di dalam rumah sehingga pecah.

"Suspek juga telah mengambil dua buah telefon bimbit milik mangsa dan menggeledah keseluruhan rumah pengadu. Suspek cuba mencuri wang milik pengadu tetapi tidak berjaya," katanya.