54 korban banjir, dua lagi masih hilang

Penduduk meredah air akibat banjir besar. - Foto Bernama
Penduduk meredah air akibat banjir besar. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sejumlah 54 kematian akibat banjir direkodkan di seluruh negara dan dua lagi masih hilang setakat Rabu, kata Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) Bukit Aman, Datuk Hazani Ghazali.

Beliau berkata, negeri yang mencatatkan kematian tertinggi dalam bencana banjir adalah Selangor iaitu 25 orang, diikuti Pahang (21), Kelantan (empat), Sabah (tiga) dan seorang di Negeri Sembilan.

Hazani berkata, situasi semasa laporan banjir daripada kesemua Pusat Kawalan Kontinjen mendapati seramai 13,322 mangsa di seluruh negara telah direkodkan setakat jam 12 tengah hari Rabu.

"Sebanyak tujuh negeri terlibat banjir dan sejumlah 172 pusat pemindahan sementara (PPS) masih aktif," katanya ketika sidang akhbar khas di Bukit Aman di sini pada Rabu.

Mengulas mengenai situasi banjir di Segamat, Johor, Hazani berkata, empat kampung di daerah berkenaan telah terputus jalan utama akibat dinaiki air setakat hari ini namun keadaan masih terkawal.

"Empat perkampungan yang terputus laluan utama ialah Kampung Lubuk Lanjut, Kampung Batu 10, Kampung Budu dan Kampung Spang Loi.

"Keadaan di Segamat masih dalam kawalan. Misi memberi bantuan masih kami teruskan dengan menggunakan sebuah helikopter yang telah diatur gerak bagi membantu mangsa banjir di perkampungan yang terjejas," katanya.

Pada Rabu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani telah mengarahkan JKDNKA untuk menyelaraskan bantuan meliputi jalan udara serta air bagi memastikan kebajikan penduduk terjejas banjir kekal terpelihara.

Artikel Berkaitan:

Bantuan itu antaranya sebuah helikopter milik Pasukan Gerakan Udara polis diguna untuk menghantar bekalan keperluan bagi penduduk di Segamat yang terputus hubungan ekoran jalan darat dinaiki air. - Bernama