Dua kes menipu untuk dapat bantuan banjir di Pahang

No Image Caption
A
A
A

KUANTAN - Polis Pahang merekodkan dua kes penipuan untuk mendapatkan bantuan banjir di daerah Temerloh.

Ketua Bahagian Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, laporan pertama diterima pada 27 Disember tahun lalu, manakala kes kedua pula pada Isnin oleh Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Temerloh.

Menurutnya, laporan pertama diterima daripada seorang lelaki yang mendakwa maklumat peribadi dan alamat rumahnya telah digunakan oleh individu tidak bertanggungjawab.

"Mangsa mendakwa maklumat itu digunakan bagi meminta sumbangan bantuan banjir yang telah dimuat naik melalui laman Facebook dengan memaparkan bersama akaun bank pihak ketiga tanpa diketahuinya.

"Mangsa memaklumkan bahawa rumahnya tidak terlibat dengan musibah banjir dan tampil membuat laporan polis selepas merasakan dirinya diperdayakan pada 27 Disember lalu," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Mohd Wazir berkata, laporan kedua diterima daripada seorang ahli badan bukan kerajaan (NGO) sukarelawan kebajikan yang membuat laporan di IPD Temerloh pada Isnin lalu.

Katanya, mangsa mengetahui penipuan itu selepas dimaklumkan oleh isterinya yang bertugas di pusat pemindahan sementara (PPS) berdaftar menyatakan suspek membuat permohonan bagi mendapatkan bantuan.

"Suspek telah mendakwa rumahnya terlibat banjir dan mengalami kerosakan teruk, susulan itu mangsa bersama ahli sukarelawannya menyalurkan bantuan berupa barang elektrik, bantal dan toto kepada suspek.

Artikel Berkaitan:

"Namun selepas semakan dibuat mendapati bahawa rumah suspek tidak terlibat dengan banjir," katanya.

Mohd Wazir berkata, kedua-dua kes masih disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Sehubungan itu, Mohd Wazir menasihatkan pemimpin masyarakat setempat agar membuat semakan terlebih dahulu terhadap pemohon yang diterima dengan mengesahkan kesahihan.

Katanya, ini bagi memastikan pemohon yang benar-benar layak menerima sumbangan yang diberikan.

"Masyarakat juga diminta jangan mudah percaya apabila berhadapan dengan individu yang meminta bantuan sebaliknya menyalurkan maklumat itu kepada pihak yang dipertanggungjawabkan," katanya.