Bahaya pencemaran kimia terhadap kesihatan

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Menghidu pencemaran kimia pada tahap tinggi boleh memberi kesan yang bahaya kepada kesihatan terutama buah pinggang dan otak.

Doktor Kesihatan Pekerja, KPJ Kajang Specialist Hospital, Dr Fitter Baharom berkata, kimia berjadual yang menghasilkan wap seterusnya dihidu, boleh menyebabkan kesukaran bernafas seterusnya gas yang dihidu memasuki saluran darah dan menyebabkan fungsi otak dan buah pinggang terjejas.

“Namun, ia bukanlah berlaku kepada semua yang menghidu pencemaran toksik tersebut, Ia bergantung pada kuantiti kimia dihidu dan faktor umur.

“Bagi mereka yang punyai masalah kesihatan berkaitan paru-paru dan kanak-kanak adalah golongan yang mudah menerima kesan lebih teruk berbanding golongan dewasa yang sihat.

“Oleh itu, ada yang terhidu pencemaran kimia ini mengalami muntah, loya dan sakit kepala sahaja. Manakala ada pula yang kritikal sehingga koma, dan menjejaskan fungsi buah pinggang,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Kelmarin, Kementerian Tenaga Sains Teknologi, Inovasi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (Mestecc) mengenal pasti lapan sebatian kimia berbahaya ditemui di dalam sampel air Sungai Kim Kim, di Pasir Gudang, Johor.

Bahan itu adalah metana, hidrogen klorida, acrylonitrile, acrolein, benzene, toulene, xylene dan limonene.

Dalam pada itu, Dr Fitter berkata, kesemua bahan kimia yang dinyatakan adalah bahan toksik berjadual di mana, ia menghasilkan wap yang mudah tersebar melalui udara dan membahayakan kesihatan.

Artikel Berkaitan:

“Dalam kes pencemaran ini, bahan kimia mengalir ke sungai, jadi bakteria di dalam sungai akan bertindak balas dengan kimia tersebut sehingga menghasilkan gas wap toksik yang bahaya kepada orang awam kerana mudah dihidu.

“Kesannya kepada yang terhidu memang akan alami masalah pernafasan termasuk loya dan muntah. Dan kritikal boleh menjejaskan paru-paru sehingga koma yang juga mengancam nyawa,” katanya.

Mengulas mengenai pemulihan daripada pencemaran ini, Dr Fitter berkata, mangsa boleh kembali pulih tetapi ia akan memakan masa.

“Jika mangsa hanya mengalami loya, muntah dan sakit kepala sahaja, ia akan pulih sendiri. Tetapi jika mengalami masalah pernafasan sehingga pengsan atau koma, ia akan memakan masa untuk pulih.

"Cara rawatan pula jika berkaitan pernafasan akan dibantu dengan alat bantuan pernafasan. Bagi yang kritikal sehingga buah pinggang terjejas, mungkin dialisis adalah salah satu cara untuk pemulihan,” katanya.

Mengulas cara untuk mengatasi pencemaran itu, katanya selalunya dalam kes demikian, air sungai perlu di pam keluar agar proses pembersihan bahan kimia dapat dilakukan di dasar sungai.

“Cara lain juga adalah dengan menggunakan buih agar menutupi bahagian atas sungai dan mengelak gas toksik tersebar ke persekitaran,” katanya.

Nasihat Dr Fitter juga, antara cara mengelak terhidu pencemaran udara toksik tersebut, orang awam perlu memakai topeng muka yang sering digunakan ketika jerebu berlaku atau menekup dengan kain basah.