Kadar pengangguran di Terengganu terkawal

Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman
Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Kadar pengangguran di Terengganu terkawal iaitu berada pada kadar 4.1 peratus pada 2020 dan antara 3.7 peratus hingga 4.4 peratus pada suku pertama hingga suku ketiga tahun 2021.

Exco Keusahawanan, Sumber Manusia, Industri Mikro dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman berkata, ia adalah lebih baik daripada yang direkodkan di peringkat nasional iaitu 4.6 peratus pada 2020 dan antara 4.7 peratus hingga 4.8 peratus pada suku pertama hingga suku ketiga tahun 2021.

"Walaupun pasaran buruh merosot teruk akibat pandemik Covid-19 yang melanda seluruh dunia, kadar pengangguran di Terengganu kini masih terkawal.

"Statistik kehilangan pekerjaan di Terengganu bagi tempoh Mac 2020 hingga September 2021 juga berada di kedudukan keempat terendah iaitu seramai 1,547 orang daripada keseluruhan 136,374 orang bagi negeri di Semenanjung Malaysia," katanya dalam kenyataan di sini pada Rabu.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata, kadar pengangguran di Terengganu menurun kepada 3.5 peratus pada 2019 berbanding 4.8 peratus yang direkodkan pada 2018 iaitu menghampiri kadar pengangguran di peringkat nasional yang berada antara julat 2.9 hingga 3.4 peratus bagi tempoh yang sama.

Beliau menjelaskan, jumlah penganggur di Terengganu sebelum itu ketara daripada 14,400 kepada 22,500 dalam tempoh enam tahun bermula 2012 hingga 2018.

"Pada 2012 hingga 2018 trend pengangguran di Terengganu menaik iaitu daripada 2.9 peratus kepada 3.4 peratus pada 2013, 4.1 peratus (2014), 4.0 peratus (2015), 4.2 peratus (2016), 4.5 peratus (2017) dan 4.8 peratus (2018).

"Melihat kepada trend yang membimbangkan ini, Pas Terengganu mengemukakan tawaran untuk menyediakan sebanyak 20,000 peluang pekerjaan dalam tempoh sepenggal pemerintahan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, kejayaan kerajaan negeri menurunkan kadar pengangguran itu susulan pelaksanaan beberapa langkah proaktif sejak mengambil alih pentadbiran.

"Kerajaan melihat bidang sumber manusia ini memerlukan satu agensi khusus bagi menangani masalah pengangguran dan pencarian kerja kepada rakyat.

"Kita telah menubuhkan Pusat Pembangunan Sumber Manusia Terengganu (THRDC) ekoran tiada data khusus boleh diguna pakai kerajaan negeri bagi menangani isu tersebut," katanya.

Katanya, laporan lebih terperinci dan bersasar membolehkan kerajaan meneliti fenomena pengangguran mengikut daerah dan bidang yang diperlukan dalam pasaran kerja.

"Hasil laporan itu, kerajaan dapat memahami kedudukan permintaan dan tawaran tenaga kerja (Demand and Supply of Labour) dalam negeri Terengganu, seterusnya memahami jurang yang wujud," katanya.