SWCorp tumpu kerja pembersihan di 12 kawasan terjejas banjir

Khairuladha (kanan) bersama petugas mengutip sisa pepejal pada operasi pembersihan pasca banjir di Taman Merdeka Jaya Batu Berendam, pada Rabu. - Foto Bernama
Khairuladha (kanan) bersama petugas mengutip sisa pepejal pada operasi pembersihan pasca banjir di Taman Merdeka Jaya Batu Berendam, pada Rabu. - Foto Bernama
A
A
A

MELAKA - Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) Melaka menumpukan 12 kawasan penduduk yang terjejas dengan bencana banjir pada operasi pembersihan pascabanjir di negeri ini.

Pengarah SWCorp Melaka, Khairuladha Mutalib berkata, seramai 86 petugas digerakkan dengan kekuatan 17 kenderaan dan lima jentera bagi pembersihan skala besar melibatkan kerja-kerja pembersihan jalan, longkang, rumah penduduk dan kutipan sisa pepejal.

“Seperti sedia maklum, Melaka mengalami banjir gelombang kedua dan kerja pembersihan telah dimulakan sejak 3 Januari lepas di beberapa kawasan di Alor Gajah dan Melaka Tengah.

“Ia termasuk di kawasan kerap berlaku banjir seperti Taman Merdeka Jaya dan Taman Datuk Thamby Chik Karim dan hari ini kita turut melakukan pembersihan di Taman Sri Bayu 2, Kampung Gadek, Taman Belimbing Indah dan Kampung Telok Berembang,” katanya kepada pemberita di sini pada Rabu.

Khairuladha berkata, sepanjang dua hari operasi pembersihan itu dijalankan pihaknya mengutip kira-kira 6.9 tan sisa pepejal dan menjangkakan bilangan itu bertambah dalam tempoh dua minggu lagi selepas lebih ramai penduduk dibenarkan pulang dari pusat pemindahan sementara (PPS).

Beliau berkata, ketika gelombang pertama banjir di Melaka dua minggu lepas, SWCorp mengutip sebanyak 69.84 tan sisa pepejal meliputi barangan keperluan dan perabot yang rosak dibuang penduduk di kawasan terjejas.

“Pihak kita juga telah membuat penilaian di kawasan terjejas kemungkinan jumlah sisa yang dibuang sama atau kurang sedikit kerana berdasarkan pemerhatian paras banjir yang dihadapi tidak tinggi walaupun melibatkan banyak kawasan.

"Namun, kita lihat keperluan dan permohonan daripada penduduk atau agensi berkaitan untuk SWCorp bantu melancarkan kerja pembersihan di kawasan yang terjejas ini,” katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan: