Lima termasuk suami isteri didakwa tipu jual beli emas

Kesemua tertuduh diiring polis di mahkamah.
Kesemua tertuduh diiring polis di mahkamah.
A
A
A

SEREMBAN - Lima individu termasuk suami isteri dihadapkan ke Mahkamah Majistret Seremban pada Rabu atas pertuduhan menipu urusan jual beli emas membabitkan nilai kerugian RM40,296 tahun lalu.

Tertuduh, Suhaila Yusof, 30, dan suami, Shahzatul Ikmal Maarof, 38, serta Mohamed Harith Yusry Mohamed Rosli, 25, Muhammad Firdaus Roslan, 27 dan Siti Nur Syakirah Salim, 23, mengaku tidak bersalah bagi pertuduhan dihadapkan kepada mereka di hadapan Majistret Mohd Firdaus Salleh dan Norzaliza Tesmin.

Mengikut pertuduhan yang dibacakan berasingan, kesemua tertuduh didapati melakukan penipuan terhadap pekerja kedai emas di Bandar Prima Senawang di Seremban dengan memperdaya menggunakan resit pembayaran dalam talian palsu menyebabkan kerugian RM40,296.

Perbuatan berkenaan dilakukan antara jam 1.19 pagi pada 27 Disember sehingga 10.52 pagi pada 29 Disember 2021.

Berikutan itu tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan, sabit kesalahan boleh dihukum penjara minimum satu tahun dan tidak lebih 10 tahun, dengan sebat dan boleh didenda.

Suhaila yang merupakan suri rumah juga berdepan pertuduhan mengikut Seksyen 414 Kanun Keseksaan iaitu menghapuskan harta tipuan emas keseluruhan bernilai RM7075.80 dengan cara menjualnya kepada sebuah kedai emas di Perling Mall, Johor Bahru pada 29 Disember 2021.

Sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya.

Peguam Syed Fadil Syed Othman mewakili Suhaila, Shahzatul Ikmal dan Siti Nur Syakirah.

Artikel Berkaitan:

Peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, Chrysandy Lai pula turut mewakili Suhaila serta Mohamed Harith Yusry dan Muhammad Firdaus dan Suhaila.

Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Hafizah Zainul Hashimi dan Nurul Muhaimin Mohd Azman.

Mahkamah kemudian menetapkan jaminan RM9,500 bagi tiga pertuduhan terhadap Suhaila, RM4,000 terhadap Mohamed Harith Yusry, Muhammad Firdaus dan Siti Nur Syakirah dan RM3,500 terhadap Shahzatul Ikmal.

Sebutan semula kes 19 Januari ini.