'Saya perlukan pekerja tambahan untuk baiki motosikal mangsa banjir'

Bengkel N Rajendran Motor di Dengkil mula terkenal selepas video mengenai perkhidmatan membaiki motosikal yang ditenggelami banjir secara percuma, tular di media sosial. -Foto Bernama
Bengkel N Rajendran Motor di Dengkil mula terkenal selepas video mengenai perkhidmatan membaiki motosikal yang ditenggelami banjir secara percuma, tular di media sosial. -Foto Bernama
A
A
A

DENGKIL - “Saya perlukan pekerja tambahan (mekanik) untuk percepatkan proses ‘repair’ (baiki) motosikal yang ditenggelami banjir. Ramai mangsa banjir di sekitar Dengkil hantar motosikal rosak ke bengkel saya lebih-lebih lagi selepas video saya mengenai perkhidmatan percuma ini tular di media sosial”.

Itu luahan pemilik bengkel N Rajendran Motor, N Rajendran, 54, atau lebih dikenali sebagai Abang Raja berhubung kekurangan tenaga kerja yang dihadapinya berikutan sambutan menggalakkan daripada mangsa banjir yang merupakan pelanggan tetapnya.

“Jumlah motosikal rosak akibat banjir agak banyak ketika ini. Jadi saya harap mana-mana individu yang ada pengalaman dan pengetahuan membaiki motosikal untuk bekerja dengan saya.

“Kalau yang tinggal di luar Dengkil, saya akan tanggung kos penginapan, makanan dan minuman,” katanya ketika ditemui Bernama di sini pada Rabu.

Nama Rajendran atau Raja Motor mula terkenal dan mencatat carian tertinggi di Google serta media sosial apabila video berdurasi 40 saat yang dimuat naik orang awam mula tular sejak 30 Disember lepas.

Menerusi video tersebut, Rajendaran yang ketika itu berada di Kampung Chemperai, di sini, mempelawa penduduk untuk menghantar motosikal yang rosak akibat ditenggelami banjir ke bengkelnya yang terletak di pekan Dengkil.

Susulan itu, beliau tidak menang tangan membaiki pelbagai jenis motosikal bersama dua pekerjanya malah terpaksa memanjangkan waktu operasi bengkel sehingga 9 malam.

“Sebagai ganjaran kepada pekerja saya dan bakal pekerja, saya akan berikan mereka bonus sebab sanggup bantu saya realisasikan niat ikhlas ini. Ini masanya saya balas jasa pelanggan (mangsa banjir) yang selama ini sokong perniagaan saya,” katanya yang telah membuka bengkel motosikal sejak 33 tahun lepas.

Artikel Berkaitan:

Sehingga kini kata Rajendaran, beliau dan pekerjanya telah membaik pulih lebih 80 motosikal milik mangsa banjir yang tinggal di sekitar Dengkil.

Bapa kepada empat anak berusia antara 15 dan 25 tahun itu berkata, beliau terdetik untuk menghulurkan bantuan seumpama itu apabila mengenangkan nasib mangsa banjir yang bukan sahaja perlu menanggung kos membaik pulih kenderaan malah pelbagai kos lain.

Ditanya mengenai proses baik pulih, beliau berkata, setiap motosikal mengambil masa antara satu dan dua jam untuk dibaik pulih dengan semua kos penggantian seperti palam pencucuh, minyak hitam dan penapis udara akan ditanggungnya termasuk mencuci kesan lumpur pada motosikal.

Justeru, beliau meminta setiap pemilik motosikal untuk bersabar dan tidak tergesa-gesa untuk membawa pulang motosikal mereka kerana beliau ingin memastikan perkhidmatan yang ditawarkan itu dapat memuaskan hati pemilik dan tidak mengalami sebarang masalah pada masa akan datang.

“Saya nak bantu dari segi wang ringgit memang tidak mampu sebab rumah dan barang-barang dalam rumah saya juga rosak akibat banjir. Jadi kemahiran membaiki motosikal ini saya manfaatkan. Saya cuma harap mereka doakan perniagaan saya maju,” kata anak jati Selangor itu.

Sementara itu, pekerja bengkel tersebut, Muhd Nur Firdaus Che Razali, 21, tidak menyangka niatnya untuk bekerja sekadar mengisi masa lapang sebelum melanjutkan pelajaran di peringkat diploma bagi jurusan automotif memberikan pengalaman berharga selain peluang mendalami ilmu pembaikan motosikal.

Pelajar lulusan Sijil Automotif di Institut Latihan Perindustrian (ILP) Mersing, Johor itu mula bekerja di bengkel tersebut bulan lepas.

“Saya nak tambah pengetahuan dan pengalaman tetapi tak sangka banjir berlaku dan Abang Raja tawarkan khidmat baik pulih percuma. Ini peluang saya sebab bila nak lanjutkan pelajaran peringkat diploma, saya kena ada ilmu asas berkaitan motosikal,” katanya yang berasal dari Negeri Sembilan. - Bernama