Mangsa banjir di Johor terus meningkat

Anggota tentera dan Angkatan Pertahanan Awam (APM) Negeri Johor melakukan tugas-tugas menyelamat mangsa di Mersing.
Anggota tentera dan Angkatan Pertahanan Awam (APM) Negeri Johor melakukan tugas-tugas menyelamat mangsa di Mersing.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Jumlah mangsa yang terjejas akibat bencana banjir di beberapa daerah di negeri ini terus menunjukkan peningkatan setakat jam 12 tengah hari pada Rabu.

Exco Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri Johor, R Vidyanathan berkata, jumlah mangsa banjir meningkat kepada seramai 5,486 berbanding 5,399 mangsa pada jam 8 pagi hari yang sama.

Katanya, kesemua mangsa ditempatkan di 80 pusat pemindahan sementara (PPS) yang dibuka membabitkan daerah Segamat, Tangkak, Muar, Kota Tinggi, Kluang, Mersing dan Batu Pahat.

"Setakat ini, Segamat masih mencatatkan jumlah mangsa terjejas paling ramai iaitu 3,817 mangsa diikuti Tangkak (598), Mersing (470), Muar (235), Kota Tinggi (131), Kluang (124) dan Batu Pahat (111).

"Bagaimanapun, terdapat dua PPS yang dilaporkan telah ditutup iaitu di Dewan Semai Bakti, Felda Moakil, Muar dan Balai Raya Kampung Paya Lenga, Segamat berikutan keadaan sudah mulai pulih," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Rabu.

Vidyanathan berkata, kejadian banjir yang berlaku juga menyebabkan peningkatan laluan terputus yang mana sebanyak 18 laluan dinaiki air berbanding 13 setakat jam 8 pagi Rabu.

"Kesemua 18 laluan yang terputus ini melibatkan 11 laluan di Segamat, tiga di Kluang, dan masing-masing satu di Mersing, Muar, Kota Tinggi dan Tangkak.

"Daripada jumlah ini, lima laluan di Segamat dan satu laluan di Mersing yang terputus hubungan dilaporkan tidak mempunyai laluan alternatif lain," katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kahang berkata, keadaan cuaca di kesemua daerah di negeri ini menunjukkan trend pemulihan.

"Mengikut ramalan cuaca daripada sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JKPD) kita melihat setakat jam 8 pagi hanya Pontian, Kluang, Mersing, Tangkak dan Kulai sahaja yang mengalami cuaca mendung.

"Pada 12 tengah hari ini, kesemua daerah diramal dalam keadaan cuaca panas dan tidak mengalami sebarang hujan," katanya.