Rugi RM15,250 angkara pelaburan tidak wujud

Seorang lelaki di Bentong terpaksa menanggung kerugian RM15,250 selepas terpedaya dengan tawaran pelaburan yang diiklankan di Facebook. (Gambar hiasan) - Foto 123RF
Seorang lelaki di Bentong terpaksa menanggung kerugian RM15,250 selepas terpedaya dengan tawaran pelaburan yang diiklankan di Facebook. (Gambar hiasan) - Foto 123RF
A
A
A

KUANTAN - Akibat percaya dengan tawaran pelaburan yang tidak wujud melalui laman sosial Facebook, seorang lelaki di Bentong terpaksa menanggung kerugian RM15,250.

Kejadian itu didakwa bermula November tahun lalu apabila mangsa berusia 42 tahun melihat satu iklan dan berminat dengan pelaburan ditawarkan sebelum menghubungi nombor telefon yang tertera.

Ketua Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, mangsa dan suspek telah mengadakan perbincangan serta bersetuju dengan syarat pelaburan tersebut.

"Mangsa kemudian memasukkan wang RM300 sebagai deposit pelaburan dengan kadar keuntungan 30 peratus daripada jumlah wang yang dilabur seperti dijanjikan.

"Selepas itu, mangsa memberikan maklumat diri dan nombor akaunnya kepada suspek dan seterusnya mangsa diminta memasukkan wang ke dalam akaun bank yang diberikan atas pelbagai alasan bagi mendapatkan wang keuntungan," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Mohd Wazir berkata, mangsa telah memasukkan wang bermula pada 11 Disember sehingga 1 Januari lalu ke dalam pelbagai akaun diberi suspek bagi tujuan keuntungan berganda.

Jelasnya, sebanyak lapan transaksi secara dalam talian telah dilakukan oleh mangsa berjumlah RM15,250 ke dalam lapan akaun berbeza diberikan suspek.

"Selepas itu, suspek masih lagi meminta mangsa membayar sebanyak RM8,980 atas alasan wang proses masih tidak cukup bagi mendapatkan keuntungan.

Artikel Berkaitan:

"Mangsa bagaimanapun memaklumkan dirinya sudah kehabisan wang. Suspek seterusnya enggan membuat sebarang pembayaran kepada mangsa jika masih gagal membuat pembayaran seperti diminta," katanya.

Beliau berkata, mangsa mula berasa curiga dan segera tampil membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Bentong pada Selasa.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu," katanya.