Maut dilanggar selepas disyaki curi pisang

A
A

KUANTAN - Seorang lelaki maut ipercayai dilanggar dalam kejadian yang didakwa berpunca daripada insiden kecurian pisang di Kampung Paya Lang, Mengkuang, Bera dekat sini, hari ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pahang, Datuk Othman Nayan berkata lelaki berumur 25 tahun itu disahkan meninggal dunia di Klinik Kesihatan Triang, Bera pada jam 3.00 pagi.

Beliau berkata lelaki itu dipercayai dilanggar oleh anak pemilik kebun berkenaan yang datang ke kebun pada pukul 2.00 pagi selepas dimaklumkan oleh pekerjanya terdapat tiga lelaki menceroboh.

"Tiga lelaki itu bergegas melarikan diri dengan menaiki motosikal dan dikejar oleh suspek yang menggunakan kenderaan pacuan empat roda, bagaimanapun semua lelaki itu terlepas,” katanya di sini.

"Namun semasa dalam perjalanan pulang dari kebun kemudiannya, suspek dipercayai ternampak dua motosikal yang dikatakan serupa dengan motosikal lelaki yang dikatakan menceroboh, lalu terus dilanggarnya,” tambahnya

Othman berkata polis kemudiannya menahan suspek yang berumur 22 tahun bersama dua rakan berumur 19 dan 22 tahun, serta seorang lelaki Indonesia berumur 47 tahun yang bekerja di kebun pisang itu.

Menurutnya turut ditahan ialah dua rakan lelaki yang meninggal dunia yang berumur 31 dan 33 tahun bagi membantu siasatan berhubung aduan kecurian pisang yang dibuat suspek.

Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan bagi kesalahan membunuh yang boleh membawa hukuman mati mandatori dan Seksyen 379 kanun sama bagi kesalahan mencuri yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau dengan denda, atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. - Bernama