Dikejar polis dari Gerik ke Pendang, dua lelaki akhirnya ditahan

Datuk Kamarul Zaman Mamat
Datuk Kamarul Zaman Mamat
A
A
A

ALOR SETAR - Polis berjaya menahan dua lelaki di kawasan Kampung Belat, Kubur Panjang, Pendang, Kedah selepas mengejar suspek dari Gerik, Perak pada Selasa.

Ketua Polis Kedah, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, sebelum pihaknya berjaya menahan suspek dalam kejadian jam 5.45 pagi itu, kedua-dua lelaki berkenaan yang menaiki sebuah lori telah bertindak melanggar kenderaan polis.

Menurutnya, disebabkan insiden tersebut, pihak polis telah melepaskan beberapa das tembakan bagi mempertahankan diri terhadap ancaman nyawa dan harta.

"Selepas itu, lori serta pemandu dan penumpang telah berjaya ditangkap. Pemeriksaan lanjut ke atas kenderaan dan kedua-dua suspek telah menemukan sejumlah 0.34 gram ketulan dan serbuk kristal disyaki dadah jenis syabu.

"Semakan lanjut terhadap lori tersebut pula didapati bersangkut dengan kes yang dilaporkan hilang," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa malam.

Mengulas lanjut, Kamarul Zaman berkata, suspek juga dipercayai terlibat dalam kes-kes jenayah dan narkotik lampau.

"Ekoran kejadian tersebut, pihak polis Kedah telah menjalankan siasatan di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan iaitu cubaan bunuh dan Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 iaitu memiliki dadah.

"Jika disabitkan kesalahan boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun manakala bagi memiliki dadah boleh dihukum sehingga tiga tahun penjara atau denda sehingga RM5,000," ujarnya.

Artikel Berkaitan: