Jemaah umrah boleh pilih stesen kuarantin

Foto 123rf
Foto 123rf
A
A
A

KUALA LUMPUR - Jemaah umrah mempunyai pilihan sama ada berurusan terus dengan stesen kuarantin swasta (rujuk hotel yang disenaraikan Agensi Pengurusan Bencana Negara atau Nadma) atau stesen kuarantin yang diuruskan kerajaan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Datuk Dr Abd Latiff Ahmad dalam kenyataan berkata, bagi penempatan kuarantin yang diurus kerajaan, individu dalam pemantauan (PUS) iaitu jemaah yang negatif ujian saringan Covid-19 oleh Kementerian Kesihatan (KKM) akan ditempatkan di hotel atau pusat latihan awam bergantung kepada ketersediaan bilik pada hari ketibaan.

“Bagi pilihan ini (pusat latihan awam) kos kuarantin ditanggung oleh pihak kerajaan termasuk makan, minum serta pengangkutan dari lapangan terbang,” katanya.

Beliau memberitahu, kerajaan memahami ramai jemaah umrah yang risau akan kos tambahan dan mungkin tidak selesa apabila dikuarantin nanti.

Abd Latiff berkata, tempoh kuarantin adalah seperti ditetapkan KKM dan terdapat enam stesen kuarantin institut latihan awam (ILA) yang disenaraikan untuk jemaah umrah.

Enam stesen kuarantin berkenaan ialah Akademi Kepimpinan Pendidikan Tinggi (AKEPT) dan Institut Aminuddin Baki (IAB) Nilai; Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM), Institut Semarak Felda dan Institut Latihan Kehakiman dan Peruncangan (ILKAP) di Bangi; dan Pusat Latihan Polis (Pulapol) Kuala Lumpur.

Menurut Abd Latiff, sebanyak 19 buah hotel di Negeri Sembilan, Kuala Lumpur dan Selangor disenaraikan sebagai stesen kuarantin jemaah umrah sebaik mereka tiba di tanah air.

Berdasarkan senarai berkenaan, sebuah hotel di Negeri Sembilan iaitu Klana Resort, 10 hotel di Kuala Lumpur manakala lapan di Selangor.

Artikel Berkaitan:

Hotel di Kuala Lumpur ialah Hotel Royal, Swiss Garden, Bukit Bintang; Hotel IBIS, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC); Hotel Furama, Bukit Bintang; Hotel Mercure Kuala Lumpur Shaw Parade; IBIS Style KL Fraser Business Park; Hotel AnCasa; Hotel Cosmo; Hotel KIP dan dan Hotel Arena Star.

Penginapan hotel di Selangor ialah Hotel Sama-Sama; Hotel Grand Dorsett, Subang; Hotel Crystall Crown, Petaling Jaya; Hotel Sunway Clio; Hotel Hilton Garden Inn, Puchong; Hotel Oriental Crystal; Hotel Summit USJ dan Hotel Pegasus, Shah Alam. - Bernama