Tangani segera kos kuarantin jemaah umrah: Anwar

Anwar Ibrahim - Foto Bernama
Anwar Ibrahim - Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan khususnya Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) digesa segera menyelesaikan isu kos kuarantin di hotel melibatkan jemaah umrah yang didakwa menelan kos tinggi.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, langkah penyelesaian segera perlu diambil bagi mengelak masalah itu terus berlanjutan.

"Saya maklum akan isu yang tular baru-baru ini berkaitan jemaah yang pulang daripada mengerjakan ibadah umrah baru-baru ini.

"Mereka dilaporkan diminta untuk menjalani proses kuarantin di hotel-hotel yang ditetapkan oleh pihak berkuasa.

"Kuarantin di rumah tidak dibenarkan sama sekali. Ini tentunya melibatkan kos kuarantin yang tinggi dan membebankan kepada mereka," kata Anwar menerusi catatan di Facebooknya pada Selasa.

Menerusi hantaran sama, Anwar yang juga Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) turut memuat naik rakaman membabitkan jemaah umrah yang berang dengan arahan kerajaan sebaik tiba di tanah air.

Pada Sabtu, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar dalam sidang akhbar khas di Parlimen memaklumkan, jemaah yang baharu pulang menunaikan umrah perlu menjalani kuarantin di hotel atau pusat kuarantin yang disediakan.

Dalam pada itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas) Datuk Dr Abd Latiff Ahmad dalam kenyataan pada Selasa memberitahu, jemaah yang baharu pulang menjalani ibadah umrah boleh memilih untuk menjalani kuarantin di stesen yang diuruskan kerajaan, di mana kosnya akan ditanggung kerajaan.

Artikel Berkaitan:

Kenyataan itu dikeluarkan susulan kebimbangan para jemaah perlu menanggung kos yang mahal bagi kuarantin di hotel.