Tanah runtuh di Jalan Kupang-Gerik-Jeli Jalan Raya Timur Barat

Pengguna jalan raya diminta berhati-hati apabila melalui Jalan Kupang-Gerik-Jeli Jalan Raya Timur Barat (JRTB) selepas Pusat Perikanan Banding yang retak dan mendap akibat tanah runtuh sejak 19 Disember lepas. - Foto JKR Perak
Pengguna jalan raya diminta berhati-hati apabila melalui Jalan Kupang-Gerik-Jeli Jalan Raya Timur Barat (JRTB) selepas Pusat Perikanan Banding yang retak dan mendap akibat tanah runtuh sejak 19 Disember lepas. - Foto JKR Perak
A
A
A

IPOH - Pengguna jalan raya diminta berhati-hati apabila melalui Jalan Kupang-Gerik-Jeli Jalan Raya Timur Barat (JRTB) yang retak dan mendap akibat tanah runtuh sejak 19 Disember lepas.

Exco Infrastruktur Awam, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam Perak, Datuk Mohd Zolkafly Harun berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 6 petang itu melibatkan laluan FT004 di Seksyen 158.60 di sebelah kanan jalan kira-kira tiga kilometer selepas Pusat Perikanan Banding di Gerik.

“Pemasangan Pelan Pengurusan Trafik (TMP) telah dibuat di lokasi rekahan jalan dan mengalihkan trafik ke laluan yang lebih selamat.

“Laluan kini hanya dibuka satu lorong untuk kedua-dua arah dan lalu lintas dikawal secara 24 jam di tapak oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) serta pihak konsesi,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini pada Selasa.

Beliau berkata, terdapat pergerakan tanah yang baru dikesan di sekitar cerun berkenaan sepanjang 40 meter dan pemasangan kanvas untuk melindungi jalan yang merekah serta mengurangkan runtuhan telah dilaksanakan bagi tindakan jangka masa pendek.

Mohd Zolkafly berkata, kerja-kerja pelebaran bahu jalan menggunakan ‘crusher run’ juga telah dilaksanakan bagi mengalihkan trafik ke laluan yang lebih selamat.

Katanya, laporan kejadian telah disediakan JKR Hulu Perak untuk siasatan dan tindakan lanjut sedang dijalankan bagi kerja-kerja pembaikan kekal di lokasi terlibat. - Bernama

Artikel Berkaitan: