Siti Nur Alia pelumba wanita pertama sertai pasukan bertaraf dunia

Siti Nur Alia terpilih menyertai pasukan berbasikal jelajah dunia Canyon-SRAM Racing Team semasa ditemui di Wisma Darul Iman hari ini. - Foto Bernama
Siti Nur Alia terpilih menyertai pasukan berbasikal jelajah dunia Canyon-SRAM Racing Team semasa ditemui di Wisma Darul Iman hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

ATLET berbasikal lebuh raya Terengganu, Siti Nur Alia Mansor mencipta sejarah tersendiri apabila menjadi pelumba wanita pertama negara dan Asia Tenggara terpilih menyertai pasukan berbasikal jelajah dunia, Canyon-SRAM Racing Team yang berpangkalan di Sepanyol.

Siti Nur Alia, 21, berkata, tawaran kontrak selama setahun daripada pasukan yang berada di kedudukan kelima dunia itu bagaikan mimpi jadi nyata dan telah lama diidamkannya.

"Jun lepas saya telah dihubungi oleh Adam Szabo, bekas jurulatih Terengganu Cycling Team (TSG) yang kini melatih pasukan Canyon-SRAM Racing Team. Beliau menyatakan minat untuk mengetengahkan bakat saya bersama pasukan mereka.

"Saya mengambil masa sebulan untuk bersetuju selepas memikirkan masa depan dan perkembangan kerjaya dalam arena berbasikal," katanya pada majlis meraikan kejayaan beliau ke pasukan profesional Canyon-SRAM Racing Team di Wisma Darul Iman di sini pada Selasa.

Pada majlis itu, Siti Nur Alia yang juga atlet Sukan Malaysia (Sukma) Terengganu turut menerima sumbangan wang saku RM3,000 daripada Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah.

Di sebalik keterujaan untuk mengembangkan karier di luar negara, Siti Nur Alia yang meraih pingat perak dan gangsa dalam acara pecut dan 500 meter ujian masa pada kejohanan Sukma Perak 2018 tetap berasa gugup dan gementar kerana akan beraksi bersama rakan sepasukan yang berpengalaman luas dan mantap dari seluruh dunia.

"Ini adalah batu loncatan atau permulaan untuk saya mengejar impian yang lebih besar iaitu beraksi di pentas sukan terbesar, Olimpik.

"Saya akan membalas pengorbanan dan jasa semua pihak termasuk keluarga, jurulatih dan keluarga besar basikal Terengganu dengan mengharumkan nama Terengganu dan Malaysia di pentas dunia suatu hari nanti," katanya yang akan berlepas ke Jerman pada 13 Januari sebelum ke Sepanyol.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Wan Sukairi berkata, kerajaan negeri melalui Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT) akan meneruskan pemberian elaun bulanan RM1,500 selama setahun kepada Siti Nur Alia.

"Kita amat bersyukur kerana pasukan baharu Alia (Siti Nur Alia) sedia membenarkan beliau pulang April ini untuk menyertai Sukma.

"Jadi kita harap Alia akan gunakan pengalaman berharga di sana untuk mengharumkan nama negeri di Sukma 2020 yang dijangka berlangsung Jun depan," katanya. - Bernama