Richiamo Coffee buka cawangan ke-70

Pengarah Pemasaran Richiamo Coffee, Adam Kassim (kiri) menyerahkan replika cek Tabung Cakna OKU UiTM kepada Dr Roziah sempena pembukaan cawangan ke-70 di Bangunan Canseleri Syed Sirajudin UiTM Shah Alam di sini pada Selasa.
Pengarah Pemasaran Richiamo Coffee, Adam Kassim (kiri) menyerahkan replika cek Tabung Cakna OKU UiTM kepada Dr Roziah sempena pembukaan cawangan ke-70 di Bangunan Canseleri Syed Sirajudin UiTM Shah Alam di sini pada Selasa.
A
A
A

RICHIAMO Coffee Sdn Bhd, pemilik rangkaian kedai kopi premium Richiamo Coffee membuka cawangannya yang ke-70 di Bangunan Canseleri Syed Sirajuddin UiTM Shah Alam di sini pada Selasa.

Pembukaan cawangan terbaharu itu turut diserikan dengan kehadiran Naib Canselor UiTM, Prof Ts Dr Roziah Mohd Janor.

Pengarah Urusan Kumpulan Richiamo Coffee, Muhammad Zamry Abu Samah berkata, cawangan ke-70 itu dikendalikan oleh AAA Coffee Shop iaitu syarikat yang mengendalikan dua cawangan lain dalam kampus UiTM Puncak Alam sebelum ini.

“Bagi pihak Richiamo Coffee, saya berterima kasih di atas peluang dan kesempatan yang diberikan oleh UiTM yang membenarkan kami bertapak di sini.

''Selain dua cawangan di Kampus UiTM Puncak Alam, Richiamo Coffee juga telah beroperasi di Hospital UiTM di kampus tersebut dan menjadikan tiga cawangan kami di Kampus UiTM Puncak Alam baru sahaja beroperasi pada bulan Oktober, November dan dua minggu lepas,” katanya di sini pada Selasa.

Pada majlis perasmian tersebut, Richiamo Coffee melalui AAA Coffee Shop turut menyerahkan sumbangan untuk Tabung Cakna OKU UiTM.

Richiamo Coffee merupakan jenama tempatan milik bumiputera 100 peratus memulakan operasinya sejak tahun 2015. Kini, Richiamo Coffee telah melebarkan sayapnya ke seluruh negeri di tanah air.

Muhammad Zamry berkata, untuk tahun ini, beberapa lagi cawangan baharu akan dibuka.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, beliau berkata, Richiamo Coffee juga mewujudkan kerjasama dengan UiTM dalam melaksanakan inisiatif tanggungjawab sosial korporatnya (CSR) bagi memperkasakan golongan orang kurang upaya (OKU) di institusi pengajian terbabit.

“Projek ini merupakan yang pertama seumpamanya di institusi pengajian tinggi di negara ini untuk golongan OKU, kami membuka tiga cawangan Richiamo Coffee dengan kerjasama Unit Perkhidmatan OKU UiTM (UPO) sebagai rakan strategik rasmi,” katanya.

Menurut Muhammad Zamry, pihaknya telah berbincang dengan UPO dan bersetuju untuk menyediakan 40 peratus pekerja sepenuh masa atau separuh masa adalah OKU dan B40.

Sebagai permulaan katanya, sehingga 30 Oktober 2021, tiga OKU sedang bekerja di Richiamo Coffee, Attijarah UiTM Puncak Alam.

Beliau menambah, modul latihan telah diwujudkan oleh UPO UiTM bagi mempersiapkan pekerja-pekerja bukan OKU menerima rakan OKU bekerja di bawah satu bumbung.

“Sebagai menyokong langkah ini, Richiamo Coffe juga bersetuju untuk menyumbang sejumlah peratus keuntungan daripada ketiga-tiga cawangan di Kampus UiTM itu ke Tabung Cakna OKU UiTM bagi tujuan pemerkasaan dan kebajikan OKU di institusi terbabit,” ujarnya.

Beliau menambah, latihan percuma kepada para pekerja OKU dan B40 turut diberikan di semua cawangan di Kampus UiTM itu selain berpeluang untuk mengembangkan karier di seluruh cawangan Richiamo Coffee di seluruh negara.

Malah, ujar beliau jika kerjasama ini berjaya ia boleh membuka peluang melalui latihan keusahawan mahasiswa OKU UiTM sebagai pengusaha dan pemilik Richiamo Coffee pada masa depan.