JAIP kumpul 10 tan al-Quran, bahan bercetak rosak

Sampah sarap dan perkakasan rumah yang rosak akibat banjir. - Foto fail Bernama
Sampah sarap dan perkakasan rumah yang rosak akibat banjir. - Foto fail Bernama
A
A
A

KUANTAN - Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) berjaya mengumpulkan kira-kira 10 tan naskah al-Quran dan bahan bercetak mengandungi ayat suci al-Quran yang rosak akibat banjir di negeri ini.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Penyelidikan JAIP, Noridzuan Abdul Manan berkata, anggaran jumlah kutipan itu hanya melibatkan daerah Temerloh dan Bentong.

Noridzuan Abdul Manan
Noridzuan Abdul Manan

Menurut beliau, dianggarkan sebanyak lima tan naskah al-Quran dan bahan bercetak mengandungi ayat al- Quran yang rosak itu dikumpulkan di daerah Temerloh dan lima tan lagi di Bentong.

"Proses pengumpulan bagi dua daerah itu dilakukan pada Sabtu dan Ahad lalu dengan dibantu oleh pertubuhan Iman Care.

"Bagi daerah-daerah lain proses kutipan dan pengumpulan masih dijalankan," katanya ketika dihubungi di sini pada Selasa.

Noridzuan berkata, naskah al-Quran yang dikumpulkan dari seluruh daerah akan dilupuskan secara serentak mengikut tatacara ditetapkan syarak di pusat pelupusan di Kampung Temin Jerantut.

"Usaha itu bertujuan memelihara kemuliaan al-Quran, justeru kita meminta orang ramai yang memiliki al-Quran dan bahan bercetak mengandungi ayat al-Quran yang rosak akibat banjir dikumpulkan bagi memudahkan proses kutipan sebelum dilupuskan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, bahan berkenaan yang tidak boleh digunakan lagi boleh dikumpul di masjid kariah atau surau setempat.

Sementara itu katanya, pada kejadian banjir di negeri ini awal Januari tahun lalu, pihaknya berjaya mengumpul dan melupuskan lebih 15 tan al Quran rosak di seluruh Pahang.