8,219 keluarga terjejas banjir terima bantuan BSB

Amirudin
Amirudin
A
A
A

SHAH ALAM - Sebanyak RM8.2 juta dibelanjakan untuk membantu 8,219 keluarga yang terjejas akibat banjir menerusi Bantuan Selangor Bangkit (BSB) setakat Selasa.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, jumlah sumbangan tersebut merupakan sebahagian daripada RM100 juta yang diperuntukkan menerusi BSB bagi tujuan berkenaan.

Menurutnya, daerah Petaling menerima bantuan BSB tertinggi sebanyak RM2.6 juta membabitkan 2,649 keluarga, diikuti Hulu Langat (RM1.83 juta, 1,810 keluarga) termasuk dua keluarga yang kehilangan ahli keluarga akibat musibah tersebut.

"Sebanyak 1,345 keluarga menerima bantuan BSB dengan peruntukan sebanyak RM1.34 juta, diikuti 835 keluarga di Kuala Selangor (RM835,000) dan 705 keluarga di daerah Kuala Langat (RM705,000).

"Seterusnya sebanyak 514 keluarga di daerah Sepang mendapat bantuan BSB dengan peruntukan RM514,000, diikuti Sabak Bernam membabitkan 35 keluarga (RM35,000) dan Hulu Selangor sebanyak 30 keluarga (RM30,000)," katanya menerusi satu infografik di Facebooknya pada Selasa.

Dalam pada itu, Amirudin berkata, kerajaan negeri akan memulakan proses penyerahan sumbangan rumah ke rumah bagi memudahkan rakyat menerima bantuan tersebut.

Pada Disember lalu, Amirudin dalam satu sidang akhbar khas mengumumkan kerajaan negeri Selangor mula mengagihkan bantuan berjumlah RM1,000 mulai Rabu kepada keluarga yang terlibat dengan banjir baru-baru ini.

Katanya, ia akan diagihkan secara berperingkat kepada mangsa kategori pertama iaitu mangsa banjir yang berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) yang diwartakan oleh kerajaan Persekutuan dan negeri.

Artikel Berkaitan: