Sakura Kedah kembali berbunga

Gambar pokok Tekoma berbunga seolah-olah berada di luar negara.
Gambar pokok Tekoma berbunga seolah-olah berada di luar negara.
A
A
A

ALOR SETAR - Jikalau keindahan bunga Sakura menjadi sebutan di Jepun dan Korea dengan Cherry Blossom, maka Kedah tidak kurang hebatnya apabila memiliki Sakura Kedah yang kini sedang berbunga.

Selepas fenomena jerami gulung dan rumput karpet, musim bunga akibat cuaca panas muncul kembali di Kedah yang menjadi tarikan kepada orang ramai sejak beberapa hari lepas.

Lebih memukau, guguran bunga berwarna merah jambu dan putih menutupi laluan seakan-akan permaidani membuat hati terpesona melihat keindahan alam ciptaan ALLAH SWT.

Tinjauan Sinar Harian mendapati pokok 'Sakura Kedah' ataupun nama sebenarnya pokok Tekoma dilihat tumbuh mekar di beberapa laluan di Bandar Alor Setar, seperti Jalan Sultanah, Jalan Langgar, Jalan Stadium dan Jalan Kuala Kedah.

Pokok Tekoma mula berbunga lebat di Jalan Sultanah.
Pokok Tekoma mula berbunga lebat di Jalan Sultanah.

Pengunjung, Nur Aimalissa Adriana Mohd Nizam, 16, berkata, dia berbangga menjadi anak Kedah yang memiliki pelbagai keindahan alam dan keunikan tersendiri seolah-olah berada di luar negara.

"Sebelum ini, pemandangan ratusan jerami gulung seperti berada di Eropah, diikuti hamparan rumput karpet menghijau di tali air dan kini datang musim bunga Sakura Kedah seolah-olah berada di Jepun.

"Walaupun cuaca panas terik, namun ia tidak menghalang saya untuk mengabadikan gambar kenangan fenomena musim bunga memandangkan ia hanya berlaku sekali setahun. Jikalau terlepas peluang, saya kena tunggu tahun depan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Aimalissa berkata, dia teruja melihat bunga Sakura Kedah berwarna merah jambu dan putih yang berguguran hingga menyebabkan laluan tertentu sekitar Alor Setar seakan-akan hamparan permaidani.

"Jikalau nak ke luar negara memang tidak mampu, jadi peluang menyaksikan ia berbunga setahun sekali memang tidak dilepaskan. Apatah lagi, dalam gambar ia memang nampak macam luar negara," katanya.

Kehadiran musim bunga mengubah permandangan beberapa kawasan di Bandar Alor Setar.
Kehadiran musim bunga mengubah permandangan beberapa kawasan di Bandar Alor Setar.

Pengarah Pertanian Kedah, Eliyas Saad berkata, pokok berkenaan berbunga dengan lebat disebabkan beberapa faktor, antaranya termasuklah berada dalam tempoh masa dan keamatan cahaya yang panjang, bukannya dipengaruhi bulan tertentu.

Katanya, fenomena pokok Tekoma berbunga lebat yang sering berlaku pada bulan Mac setiap tahun tidak dipengaruhi bulan tertentu, sebaliknya ia boleh berbunga pada bulan lain juga apabila berdepan faktor itu.

Menurut beliau, cuaca panas, tempoh masa panjang dan cahaya matahari kuat berlaku pada bulan Mac ini menyebabkan pokok berkenaan berbunga dengan lebat seperti yang berlaku kini di Kedah.

"Kita dapati pokok mula berbunga sejak Februari, bagaimanapun ia makin lebat pada Mac, yang mana ia dijangkakan bertahan dalam tempoh dua hingga tingga minggu sebelum luruh sepenuhnya," katanya.

Bagaimanapun, katanya, tempoh musim bunga berkenaan akan lebih singkat apabila hujan berpanjangan, memandangkan bunga Tekoma lebih cepat dan mudah luruh semasa hujan turun.

Eliyas berkata, penduduk tempatan mengelarkan bunga berkenaan sebagai Sakura Kedah disebabkan ia memberi gambaran yang mudah tentang musim bunga di negeri ini seolah-olah seperti di luar negara.


Pemandangan bunga Sakura Kedah mula berbunga di hadapan Masjid Al-Bukhary.
Pemandangan bunga Sakura Kedah mula berbunga di hadapan Masjid Al-Bukhary.