Polis Perak perhebat usaha banteras dadah, sarang penagih

Mior Faridalathrash (kanan) menyampaikan sumbangan banjir kepada anggota yang terjejas pada Perhimpunan Bulanan Ketua Polis Perak dan Amanat Tahun Baharu 2022 di Dewan Serbaguna Pengkalan Latihan Pasukan Gerakan Udara (PLGPU) pada Selasa.
Mior Faridalathrash (kanan) menyampaikan sumbangan banjir kepada anggota yang terjejas pada Perhimpunan Bulanan Ketua Polis Perak dan Amanat Tahun Baharu 2022 di Dewan Serbaguna Pengkalan Latihan Pasukan Gerakan Udara (PLGPU) pada Selasa.
A
A
A

IPOH - Polis Perak pada tahun ini akan memberikan tumpuan kepada aktiviti pengedaran dadah yang melibatkan sindiket berskala besar dan menghapuskan sarang-sarang penagih di seluruh daerah di negeri ini.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, tangkapan dan serbuan akan diperhebatkan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik bagi membendung kegiatan penyalahgunaan dadah.

Menurutnya, sebanyak 41 kawasan panas dikenal pasti sebagai lokasi yang menjadi sarang penagih dadah di Perak.

"Saya telah mengarahkan kesemua 15 ketua polis daerah di Perak untuk memberi tumpuan kepada sarang-sarang dadah bagi memastikan kita boleh hapuskannya," katanya kepada pemberita selepas Perhimpunan Bulanan Ketua Polis Perak dan Amanat Tahun Baharu 2022 di Dewan Serbaguna Pengkalan Latihan Pasukan Gerakan Udara (PLGPU) di sini pada Selasa.

Mior Faridalathrash berkata, lokasi sarang dadah yang dikenal pasti melibatkan pelbagai tempat antaranya kawasan perumahan, ladang kelapa sawit dan sebagainya.

Sehubungan itu beliau berkata, pihaknya juga akan meningkatkan pertuduhan di bawah Seksyen 39C Akta Dadah Berbahaya 1952.

Seksyen tersebut membabitkan penagih tegar melakukan kesalahan berulang yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang lima tahun dan tidak lebih tujuh tahun serta dikenakan sebat tidak lebih daripada tiga sebatan.

Pada masa sama, pihaknya juga akan memperhebatkan usaha membanteras jenayah judi dan judi online selain kegiatan melombong bitcoin di daerah-daerah.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, polis Perak bekerjasama dengan pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB) bagi mengekang kegiatan mencuri elektrik yang membawa kerugian kepada ekonomi negara.

Pada majlis itu, Mior Faridalathrash turut menyampaikan sumbangan daripada warga polis Perak kepada keluarga anggota yang terjejas akibat banjir.

Turut disampaikan sijil penghargaan kepada pegawai dan anggota polis yang berkhidmat cemerlang dalam pasukan.