Misi bantuan banjir: 60 petugas DBKL, PPj ke Melaka dan Johor

Shahidan Kassim
Shahidan Kassim
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seramai 60 petugas daripada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Perbadanan Putrajaya (PPj) telah dihantar ke Segamat, Johor serta Melaka bagi misi bantuan banjir.

Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Shahidan Kassim berkata, kesemua petugas telah berada di dua negeri berkenaan sejak Isnin selain Pusat Kawalan Operasi Banjir bagi menyelaras dan mengatur gerak kerja bersama pasukan pengurusan bencana daerah dan negeri, turut dibuka.

"Bagi misi di Segamat, DBKL menggerakkan sebuah bot besar, dua buah kenderaan pacuan empat roda (4x4), dua van dan lima lori.

“Untuk misi di Melaka, PPj menggerakkan enam buah pacuan 4x4, sebuah lori, beberapa buah bot kecil selain peralatan pembersihan seperti 15 unit ‘water jet’, tiga ‘water pump’ dan tiga hos biru,” katanya dalam kenyataan di sini pada Selasa.

Beliau berkata, selain daripada operasi membantu, menyelamat dan membersih di kawasan terjejas bencana, bantuan bakul makanan turut akan diedarkan kepada keluarga yang terlibat.

Shahidan berkata, jumlah sukarelawan daripada pelbagai agensi di bawah kementeriannya juga akan ditambah dari masa ke masa mengikut keperluan dan keadaan semasa. - Bernama

Artikel Berkaitan: