Pencemaran kimia: Ini malapetaka besar, serius!

Lokasi insiden bermulanya pencemaran ekoran pembuangan sisa kimia oleh pihak yang tidak bertanggungjawab di Sungai Kim Kim dekat Pasir Gudang, hari ini. - Foto Bernama
Lokasi insiden bermulanya pencemaran ekoran pembuangan sisa kimia oleh pihak yang tidak bertanggungjawab di Sungai Kim Kim dekat Pasir Gudang, hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

PORT DICKSON - Perancangan yang lemah menjadi antara faktor berlakunya insiden pencemaran sisa bahan kimia di Sungai Kim Kim, Pasir Gudang, Johor baru-baru ini.

Ahli Parlimen Port Dickson Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata insiden yang sedang berlaku ketika ini merupakan satu peringatan bahawa isu keselamatan dan isu pembuangan sisa kimia tidak boleh dipandang ringan.

“Ini satu malapetaka yang besar dan sangat serius. Ia bukan bencana semulajadi tetapi terjadi kerana perancangan yang lemah.

"Dalam usaha menarik pelabur kita tidak boleh ketepikan isu ini. Keselamatan rakyat dan anak-anak harus diberi keutamaan,” katanya ketika ditemui selepas majlis Hi-Tea bersama polis Ibu Pejabat Polis Daearah Port Dickson di sini, hari ini.

Anwar berkata demikian sebagai mengulas mengenai pencemaran sisa bahan kimia dipercayai susulan pembuangan sisa kimia di Sungai Kim Kim, Pasir Gudang, baru-baru ini.

Jumlah mangsa terjejas insiden pembuangan sisa kimia, Sungai Kim Kim, Pasir Gudang yang ditempatkan di Medic Base, sejak 11 Mac hingga 12 tengahari tadi, merekodkan jumlah seramai 1,906 orang dengan 276 kes dirujuk ke Hospital Sultan Ismail (HSI).

Anwar hari ini juga sempat berkunjung ke kediaman tiga individu termasuk dua pesakit yang mengidap penyakit angin ahmar di Bandar Sunggala di sini untuk menyampaikan sumbangan kerusi roda, wang tunai dan lain-lain bantuan berbentuk barangan keperluan harian.

Suami salah seorang pesakit yang mengidap angin ahmar Abdul Waris, 81, berkata beliau samasekali tidak menyangka Anwar akan meluangkan masa ke kediamannya meskipun sibuk dengan tugasan-tugasan penting.

Artikel Berkaitan:

"Saya berterima kasih kepada Datuk Seri kerana meluangkan masa menziarahi isteri saya yang mengalami penyakit angin ahmar sejak sebulan lepas, dan memberikan sumbangan ini. Ia akan saya gunakan sebaik-baiknya," kata beliau yang turut menjaga seorang anak Orang Kelainan Upaya (OKU).

Seorang lagi pesakit Misran Rokyah, 77, ketika ditemui menyuarakan rasa syukur dengan sumbangan kerusi roda yang memang amat diperlukannya, dan beliau menganggap pemberian itu sebagai bukti keprihatinan Anwar sebagai Anggota Parlimen di sini.

Sementara itu P. Ramasamy, 66, yang sukar untuk berjalan selepas terlibat dalam kemalangan 15 tahun lalu, turut bersyukur dengan sumbangan yang diberikan Anwar ini, kerana ia akan memudahkan beliau untuk bergerak lebih jauh dan selesa. - Bernama