Sekali harga makanan naik sukar untuk turun semula

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

TERPAMPANG satu poster tulisan tangan di sebuah kedai makan nasi ayam kukus di ibu kota yang mengumumkan mereka terpaksa menaikkan harga makanan.

Jika sebelum ini mereka menjual pada harga RM5 namun disebabkan oleh kenaikan harga barang, peniaga terbabit terpaksa menaikkan harga makanan sebanyak RM6.

Difahamkan peniaga-peniaga nasi lemak sekitar Lembah Klang pun ada yang terpaksa menaikkan harga makanan kegemaran rakyat Malaysia itu sebanyak 20 hingga 30 sen.

Kenaikan itu bukan sahaja disebabkan oleh harga bahan mentah seperti ayam dan cili yang tinggi pada ketika ini malah ia turut disebabkan oleh barang-barang seperti beg plastik, pembungkus makanan dan penyedut minuman yang turut naik sejak beberapa bulan lalu.

Keadaan diburukkan lagi dengan kedatangan musim banjir sedang melanda di lima buah negeri yang dipercayai turut menyumbang kepada kenaikan harga barang.

Berdasarkan laporan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), Indeks Harga Pengguna (IHP), yang mengukur inflasi utama mencatat peningkatan 3.3 peratus kepada 124.0 pada November 2021 daripada 120.0 setahun lalu, mencatat kenaikan untuk tempoh sembilan bulan berturut-turut.

Indeks Harga Pengeluar (IHPR), pengukur kadar inflasi di peringkat pengeluar pada bulan sama turut meningkat 12.6 peratus, terutama didorong oleh lonjakan kos bahan mentah. Inilah antara penyebab berlakunya lonjakan harga barang yang tinggi pada ketika ini.

Berbalik kepada tindakan peniaga yang menaikkan harga makanan, terdapat satu perkara yang jarang dibangkitkan.

Artikel Berkaitan:

Pada kebiasaannya apabila pengusaha kedai makanan dan minuman di negara ini menaikkan harga, adalah amat sukar untuk mereka turunkan kembali kepada harga asal walaupun harga barangan mengalami penurunan.

Ini kerana peniaga menganggap bahawa pelanggan sudah dapat menerima realiti kenaikan harga barang yang berlaku.

Justeru, kita harap kerajaan berusaha keras untuk memastikan harga barang terus kekal rendah demi untuk rakyat.