Cheng Hoe berani dan bertanggungjawab

Cheng Hoe mengambil tanggungjawab atas prestasi hambar skuad Harimau Malaya pada saingan Piala Suzuki AFF 2020 di Singapura baru-baru ini.
Cheng Hoe mengambil tanggungjawab atas prestasi hambar skuad Harimau Malaya pada saingan Piala Suzuki AFF 2020 di Singapura baru-baru ini.
A
A
A

SELEPAS hampir dua minggu spekulasi tentang masa depannya bertebaran di dada-dada akhbar dan media sosial, akhirnya Tan Cheng Hoe sah meletakkan jawatan sebagai pengendali skuad Harimau Malaya.

Keputusan pengendali berusia 53 tahun dari Kedah itu untuk mengundur diri dibuat susulan kegagalan skuad bimbingannya gagal melangkah ke saingan separuh akhir Piala Suzuki AFF 2020 di Singapura baru-baru ini.

Pelbagai cerita yang timbul di sebalik kegagalan Harimau Malaya pada kejohanan kali ini biarpun anak-anak buah Cheng Hoe tampil sebagai penyandang juara edisi 2018.

Presiden Persatuan Jurulatih Bola Sepak Malaysia (PJBM), B Sathianathan berkata, tindakan Cheng Hoe meletakkan jawatannya sebagai satu tindakan yang berani dan bertanggungjawab.

Malah, Sathianathan yang juga bekas pengendali skuad kebangsaan menghormati keputusan Cheng Hoe biarpun mengakui agak terperanjat dengan tindakan tersebut.

“Saya aku agak terkejut dengan keputusan Cheng Hoe. Tetapi ia satu tindakan berani dan bertanggungjawab daripada Cheng Hoe dan saya harus beri tabik hormat kepada beliau atas keputusan berkenaan.

“Memang tak wajar kalau 100 peratus kegagalan skuad negara di Singapura diletakkan atas tanggungjawab beliau. Daripada pemerhatian saya, pemain-pemain yang dibawa ke Singapura bukanlah dalam kalangan terbaik.

“Jika masih ingat, apabila Cheng Hoe mula-mula menjadi jurulatih skuad negara, sebelum Covid (Covid-19) dulu, skuad negara bermain dengan baik. Ketika itu, permainan skuad negara memang steady selepas beliau membimbing skuad negara.

Artikel Berkaitan:

“Kemudiannya selepas pandemik Covid-19, prestasi skuad negara mula menurun sedikit. Impak lebih besar kita boleh lihat apabila skuad negara beraksi hambar di Singapura,” katanya kepada Sukan Sinar pada Isnin.

Pada Isnin, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menerusi satu kenyataan media memaklumkan mengenai peletakan jawatan Cheng Hoe yang mula dilantik sebagai Ketua Jurulatih Harimau Malaya pada Disember 2017.

Mengulas mengenai pengganti Cheng Hoe, Sathianathan berkata, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) harus membuat keputusan dengan teliti bagi memastikan Harimau Malaya kembali di landasan sebenar.

“Siapa juga yang dilantik nanti, perlulah berani mengambil tanggungjawab bagi membentuk skuad negara menjelang Pusingan Ketiga Kelayakan Piala Asia pada Jun nanti.

“Tak kisahlah sama ada jurulatih tempatan atau dari luar negara, asalkan individu berkenaan mampu dan berani melaksanakan tugas dan tanggungjawab yang diberikan FAM.

“Kalau ikutkan, ramai yang kata ambil jurulatih luar negara tetapi itu bukan kayu pengukur kejayaan. Jangan ikut dari negara mana jurulatih itu tetapi tengoklah latar belakang dan kemampuannya,” jelasnya.

Untuk rekod, antara kejayaan yang diraih Cheng Hoe ialah membantu Malaysia memenangi pingat emas Sukan SEA 2009 dan menjuarai Piala Suzuki AFF 2010 ketika bergelar pembantu kepada Datuk K Rajagobal serta naib juara Piala Suzuki AFF 2018 selaku ketua jurulatih.