Kerja ladang tak glamor tapi gaji mahal

No Image Caption
A
A
A

SEKTOR perladangan dilihat antara sektor yang kurang glamor dalam kalangan rakyat tempatan sehingga berdepan dengan masalah kekurangan pekerja.

Ironinya, masalah itu dikatakan kerana kerja-kerja ladang memerlukan tugas yang berat dan susah, selain penghijrahan keluar penduduk luar bandar ke bandar-bandar yang selesa untuk bekerja di sektor-sektor perindustrian.

Ia secara tidak langsung kurang menarik perhatian rakyat tempatan khususnya anak muda walaupun pendapatan yang diperoleh agak lumayan sebenarnya.

Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng sewaktu di Dewan Rakyat baru-baru ini berkata, berdasarkan purata harga Minyak Sawit Mentah sebanyak RM4,555 satu tan, nilai kerugian akibat kekurangan guna tenaga dalam sektor perladangan pada Ogos tahun ini adalah sebanyak RM14 bilion setahun.

Katanya, anggaran jumlah kerugian ini meningkat sebanyak 56 peratus dan lebih 100 peratus berbanding tahun 2020 dan 2019 yang jumlah kerugian akibat masalah kekurangan guna tenaga, masing-masing dianggarkan sebanyak RM9 bilion dan RM6 bilion setahun.

Maka, tidak hairanlah apabila kerajaan mengambil keputusan untuk membawa masuk 32,000 buruh ladang warga asing yang lengkap dua dos vaksin Covid-19 dari Indonesia dan Bangladesh ke Malaysia bagi menampung keperluan tenaga kerja di ladang-ladang sawit di seluruh negara.

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Zuraida Kamaruddin berkata, buruh asing berkenaan dibenarkan untuk dibawa masuk ke negara ini bagi menjalankan kerja-kerja menuai buah kelapa sawit.

Menurutnya, gaji-gaji pekerja ladang ini agak lumayan dan bergantung kepada syarikat, yang mana ada yang dibayar gaji pokok RM1,200 dan mampu memperoleh sehingga RM2,000 jika ditambah insentif dan elaun kerja lebih masa boleh dapat lebih RM2,000 sebulan.

Artikel Berkaitan:

Apa yang menarik perhatian adalah, kenyataan Zuraida itu ada kebenarannya apabila penulis sendiri ada melihat satu rakaman video tular baru-baru ini tentang seorang lelaki warga Bangladesh yang mampu memperoleh gaji sehingga RM5,000, hasil daripada melakukan kerja di ladang kelapa sawit di Kemaman, Terengganu.

Lebih mengagumkan, dia mampu menghantar duit sebanyak RM4,500 kepada keluarganya di Bangladesh setiap bulan, hasil titik peluhnya bekerja di ladang sejak lima tahun lalu.

Melihatkan video itu, membuatkan kita terfikir sendiri bagaimana warga asing seperti lelaki berkenaan bekerja keras demi membantu keluarganya sehingga mampu memperoleh gaji lumayan sebegitu, malah mungkin lebih tinggi daripada orang kita yang bekerja dalam ‘aircond’.

Bagaimanapun, bagi mengurangkan pergantungan kepada tenaga kerja asing, kerajaan melalui Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi misalnya, turut menggalakkan penggunaan jentera dalam sektor perladangan.

Sama ada kita sedar atau tidak, sebenarnya banyak peluang kerja dalam sektor perladangan, tinggal lagi sama ada kita mahu ambil peluang itu atau membuka lebih banyak peluang kepada warga asing.

Felcra Berhad misalnya, memperkenalkan Program Pembangunan Modal Insan Tempatan bagi jawatan seperti operator penuaian, penoreh dan pemandu jentera ladang bagi tujuan menyediakan peluang peningkatan kerjaya dalam sektor perladangan.

Syarikat itu turut memperkenalkan elaun dan insentif yang kompetitif terutama kepada kumpulan yang kehilangan kerja atau punca pendapatan sepanjang tempoh pandemik Covid-19.

Antara elaun yang disediakan ialah untuk perumahan, perubatan dan kenderaan.

Sebenarnya, banyak lagi peluang dan tawaran yang disediakan oleh kerajaan, mahupun swasta bagi menarik minat rakyat tempatan untuk sektor perladangan.

Namun, mungkin usaha yang lebih perlu dilakukan dalam mempromosikan peluang yang disediakan, termasuk menggalakkan penggajian pekerja tempatan ke dalam sektor perladangan serta meningkatkan kualiti taraf hidup pekerja melalui perumahan dan kemudahan asas di sektor perladangan.

* Farah Shazwani Ali ialah wartawan Sinar Harian