Bomba selamatkan 45 mangsa banjir terkandas

Anggota bomba, tentera dan APM membantu memindahkan 45 mangsa banjir yang terperangkap di Kampung Jemari, Mersing, sebelum membawa mereka ke PPS Politeknik Mersing, pada Isnin.
Anggota bomba, tentera dan APM membantu memindahkan 45 mangsa banjir yang terperangkap di Kampung Jemari, Mersing, sebelum membawa mereka ke PPS Politeknik Mersing, pada Isnin.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Bomba menyelamatkan 45 mangsa banjir yang terkandas di Kampung Jemari, Mersing, sebelum memindahkan mereka ke pusat pemindahan sementara (PPS) di Politeknik Mersing pada Isnin.

Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Mersing, Penolong Pegawai Bomba Mohd Azhari Awi berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 12.20 tengah hari.

Susulan itu katanya, seramai 13 anggota dengan satu jentera Fire Rescue Tender (FRT), satu Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS), dua buah pacuan empat roda jenis Toyota Hilux dan satu bot aluminium dikejarkan ke tempat kejadian.

"Terdapat 45 mangsa terkandas di kawasan tersebut. Bomba dengan bantuan anggota tentera, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan aset milik pasukan keselamatan itu menyelamatkan mangsa dan membawa mereka ke PPS di Politeknik Mersing.

"Orang awam turut membantu dengan tiga bot mereka semasa proses memindahkan mangsa banjir itu yang terdiri daripada 11 lelaki dan 15 wanita dewasa, lapan kanak-kanak lelaki dan empat kanak-kanak perempuan.

"Ini termasuk memindahkan tiga warga emas lelaki, dua warga emas wanita selain seorang bayi lelaki serta seorang bayi perempuan. Operasi selesai pada jam 3.50 petang," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Sementara itu, Exco Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri Johor, R Vidyananthan berkata, jumlah mangsa banjir di Johor terus meningkat kepada 4,737 orang pada jam 8 malam berbanding 4,278 pada jam 4 petang Isnin.

Jumlah itu katanya, melibatkan 1,282 keluarga yang kini ditempatkan di 71 PPS dan jumlah mangsa banjir paling ramai adalah di Segamat melibatkan 3,554 daripada 958 keluarga di 49 PPS.

Artikel Berkaitan:

Selain itu katanya, Muar merupakan daerah terbaharu yang dilanda banjir melibatkan 52 mangsa daripada 14 keluarga dari Felcra Bukit Kepong dan Felda Maokil.

"Mereka ditempatkan di PPS Dewan Serbaguna Felcra Bukit Kepong dan PPS Dewan Semai Bakti Felda Maokil," katanya.

Selain itu katanya, Jabatan Kerja Raya (JKR) Johor memaklumkan berlaku tanah runtuh di Jalan Lingkaran Kahang Barat, Kluang, pada Isnin.