Abdul Farid tidak sambung kontrak sebagai presiden, GPCEO Maybank

Abdul Farid
Abdul Farid
A
A
A

PRESIDEN dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan (GPCEO) Malayan Bank Bhd (Maybank), Datuk Seri Abdul Farid Alias menyatakan bahawa beliau tidak akan menyambung kontraknya yang akan tamat pada 1 Ogos 2022.

"Farid, yang memegang jawatan itu sejak 2 Ogos 2013, telah memaklumkan kepada Lembaga Pengarah Maybank bahawa beliau ingin mengikuti minat peribadinya selepas berakhir penggal ketiganya sebagai presiden dan ketua pegawai eksekutif kumpulan,” kata bank itu dalam satu kenyataan pada Isnin.

Maybank berkata, proses untuk mengenal pasti GPCEO baharu Maybank telah bermula dan sedang dijalankan, diketuai oleh Lembaga Jawatankuasa Pencalonan dan Imbuhan.

Pengerusi Maybank Tan Sri Zamzamzairani Mohd Isa berkata lembaga pengarah kini sedang menjalankan proses semakan dan penilaian secara teliti untuk mengenal pasti pengganti Farid yang sesuai termasuk menilai calon dalaman dan luaran.

"Pelantikan baharu akan diumumkan sebaik sahaja kami memperoleh kelulusan kawal selia yang diperlukan untuk pelantikan ini,” kata Zamzamzairani.

Menurutnya, bagi memastikan peralihan kepimpinan berjalan lancar, Farid akan terus menyelia pengurusan dan operasi Maybank sehingga pengganti menyandang jawatan tersebut.

“Walaupun kami kecewa Farid tidak mahu membaharui kontraknya, lembaga pengarah menghormati keputusan beliau dan bagi pihak kumpulan saya mengucapkan terima kasih di atas sumbangan, perkhidmatan dan komitmen luar biasa beliau dalam membina organisasi berpandangan ke hadapan yang mendahului kebanyakan rakan serantaunya, terutamanya dalam bidang digital dan kemampanan,” katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan: