Mohd Redzuan dilantik Pengerusi Boustead Holdings Bhd

Mohd Redzuan
Mohd Redzuan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Boustead Holdings Bhd telah melantik Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof sebagai pengerusi bebas bukan eksekutif baharunya untuk mempercepatkan agenda Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) syarikat itu untuk tahun 2022.

Pengarah Urusan Kumpulan Boustead, Datuk Sri Mohammed Shazalli Ramly berkata, kumpulan itu amat berbesar hati atas pelantikan Mohd Redzuan itu dan percaya pengalaman luas beliau dalam bidang korporat dan awam akan mempertingkatkan prestasi Boustead.

"Kami berharap di bawah kepimpinan Mohd Redzuan, beliau akan memenuhi matlamat strategik kami selaras dengan strategi Reinventing Boustead untuk mempercepatkan prestasi keseluruhan untuk meningkatkan dan memaksimumkan nilai pemegang saham serta melindungi kepentingan pemegang saham kami terutamanya Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) sebagai pemegang saham majoriti kami," katanya.

Dalam satu kenyataan, cabang pelaburan LTAT itu berkata, Mohd Redzuan, 64, telah berkhidmat sebagai Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi dari 2018 hingga 2020, seterusnya Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas) dari 2020 hingga 2021.

Menurut syarikat itu, Mohd Redzuan memiliki Ijazah Sarjana Muda Sains (Kepujian) dalam Kejuruteraan Awam dari University of Leeds, United Kingdom dan memulakan kerjaya cemerlangnya sebagai jurutera dengan ESSO Malaysia Sdn Bhd, seterusnya berkhidmat di Petronas Carigali Sdn Bhd.

Mohd Redzuan meneruskan kerjayanya dalam sektor korporat dengan memegang pelbagai jawatan penting termasuk pengarah eksekutif (ED) Swiber Marine (M) Sdn Bhd serta Wakil Negara untuk Swiber Holdings Ltd, Singapura; ketua pegawai eksekutif (CEO) Module Tech Sdn Bhd, ED Kumpulan Syarikat Gagnar dan ED Kumpulan Syarikat Orbtech.

Beliau juga merupakan Pengarah Bukit Fraser Thermal Technologies Sdn Bhd; Pengarah dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Gagnar, Marginal Field Solutions Sdn Bhd dan Seahorse Platforms Asia Sdn Bhd. - Bernama

Artikel Berkaitan: