Peng Soon mula susun langkah

Peng Soon bakal bergandingan bersama Valeree buat pertama kali pada Terbuka India 2022.
Peng Soon bakal bergandingan bersama Valeree buat pertama kali pada Terbuka India 2022.
A
A
A

PEMAIN beregu campuran negara, Chan Peng Soon meletakkan sasaran mara ke suku akhir Kejohanan Badminton Terbuka India 2022 yang dijadualkan berlangsung dari 11 hingga 16 Januari ini.

Peng Soon yang bakal beraksi buat kali pertama dengan pemain muda berusia 19 tahun, Valeree Siow menganggap sasaran itu sebagai sesuatu yang realistik sambil berharap mampu memberikan cabaran pada kejohanan berkenaan.

"Bagi saya, untuk mara ke suku akhir tak ada masalah kerana saya tengok pada pusingan pertama, akan jumpa beregu campuran dari India dan pusingan kedua pun akan bertemu dengan beregu dari India.

"Apapun, saya sangat berharap kami mampu memberikan cabaran pada kejohanan kali ini walaupun saya bergandingan buat kali pertama dengan Valeree," katanya dalam satu video yang dikongsikan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) pada Isnin.

Pada 6 Disember tahun lalu, BAM meluluskan permohonan Peng Soon yang kini berusia 33 tahun untuk kembali berada di bawah naungan badan induk badminton negara itu.

Keputusan itu menyaksikan Peng Soon dan Goh Liu Ying akhirnya 'berpisah' sebagai pasangan beregu campuran setelah bergandingan selama 13 tahun dengan pencapaian terbaik mereka meraih perak Sukan Olimpik Rio 2016.

Dalam pada itu, Valeree yang sebelum ini lebih kerap beraksi dalam acara beregu wanita bersama-sama Low Yeen Yuan, pernah muncul selaku juara Cabaran Antarabangsa Hellas, Cabaran Antarabangsa Latvia dan Cabaran Antarabangsa Slovenia pada 2021.

Malah, Valeree turut memiliki pengalaman beraksi dalam acara beregu campuran bersama-sama Yap Roy King dan meraih dua kejuaraan dalam Cabaran Antarabangsa Hellas dan Cabaran Antarabangsa Latvia tahun lalu.

Artikel Berkaitan:

Mengulas mengenai perbezaan usia dengan Valeree, Peng Soon berkata, ia bukan penghalang untuk mereka bekerjasama dan memastikan kejayaan pada Terbuka India nanti.

"Tak ada masalah pun kerana saya tak tengok pada usia, asalkan komunikasi antara kami bagus. Setakat ini semuanya berjalan lancar, cuma saya agak penat sikit sebab tempo permainan pemain muda ini sangat laju.

"Namun, sebagai pemain senior, saya melihat mungkin dia perlu belajar lebih banyak perkara dan skill untuk beregu campuran dan saya akan sentiasa memberikan nasihat kepadanya," ujarnya.