Harimau kumbang masuk jerat

Harimau kumbang jantan seberat 37 kilogram yang memasuki perangkap disediakan Perhilitan.
Harimau kumbang jantan seberat 37 kilogram yang memasuki perangkap disediakan Perhilitan.
A
A
A

IPOH - Jabatan Perlindungan Haiwan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Perak berjaya menangkap seekor harimau kubang yang mengganggu penduduk di Kampung Asli Kenang Baru Jalong Tinggi, Sungai Siput pada 2 Januari lalu.

Pengarahnya, Yusoff Shariff berkata, aduan diterima mengenai gangguan haiwan liar itu pada 24 Disember jam 1 petang namun kehadiran pegawai di kawasan tersebut mendapati harimau kumbang berkenaan tidak kelihatan.

Kata beliau, bagaimanapun pada jam 9 malam hari yang sama penduduk kembali melihat kelibat harimau kumbang tersebut dan pemantauan oleh tiga pegawai perhilitan pada jam 11.45 malam mendapati seekor Harimau Kumbang sedang berkeliaran di sekitar kandang lembu.

"Pada jam 7 pagi, 25 Disember 2021 Harimau Kumbang tersebut didapati masuk semula ke kawasan hutan belukar berhampiran kawasan kandang lembu. Anggota Jabatan menggunakan umpan ayam dan anak lembu bagi menarik perhatian harimau untuk keluar semula namun tidak berjaya.

"Selanjutnya, kakitangan Perhilitan memasang dua unit perangkap harimau di kawasan tersebut. Pemantauan terhadap perangkap dibuat dari masa ke semasa oleh kakitangan Perhilitan Daerah Sungai Siput," katanya dalam kenyataan, pada Isnin.

Yusoff berkata, lapan hari kemudian, ketika pegawai membuat pemantauan berkala mendapati harimau Kumbang tersebut masuk perangkap.

Kakitangan Perhilitan Perak memeriksa harimau kumbang yang berjaya ditangkap pada 2 Januari lalu di Kampung Asli Kenang Baru Jalong Tinggi, Sungai Siput.
Kakitangan Perhilitan Perak memeriksa harimau kumbang yang berjaya ditangkap pada 2 Januari lalu di Kampung Asli Kenang Baru Jalong Tinggi, Sungai Siput.

Menurutnya, hasil pemeriksaan mendapati harimau kumbang jantan dengan berat 37 kilogram (kg) itu dianggarkan berusia enam tahun.

Artikel Berkaitan:

Katanya, harimau kumbang berkenaan diserahkan kepada Pusat Menyelamat Hidupan Liar Kebangsaan (NWRC) untuk proses pemeriksaan lanjut, rawatan dan juga pelepasan semula.

"Jabatan Perhilitan Perak mengucapkan jutaan terima kasih kepada penduduk kampung atas kerjasama yang diberikan dalam menangkap harimau kumbang ini.

"Bagaimanapun, penduduk kampung dinasihatkan sentiasa membersihkan kawasan kandang haiwan ternakan dan kebun serta tidak dibiarkan semak sebagai langkah untuk mengurangkan kehadiran hidupan liar di kawasan berkenaan'" katanya.

Dalam pada itu, Yusoff menasihati orang ramai supaya lebih berhati-hati dan berwaspada selain tidak memasang jerat jika terserempak dengan hidupan liar serta memaklumkan segera kepada Jabatan Perhilitan.

Sebarang aduan serta maklumat berkenaan hidupan liar boleh disalurkan kepada Jabatan Perhilitan melalui talian hotline PERHILITAN 1-800-88-5151 atau e-aduan di laman sesawang www.wildlife.gov.my.