KKMM peruntuk lebih RM500,000 menerusi Kotak Kasih bantu mangsa banjir

Annuar (kiri) mengagihkan bantuan makanan keperluan harian dan bantuan kewangan kepada mangsa banjir di Sekolah Kebangsaan (SK) Kuala Balah hari ini. -Foto Bernama
Annuar (kiri) mengagihkan bantuan makanan keperluan harian dan bantuan kewangan kepada mangsa banjir di Sekolah Kebangsaan (SK) Kuala Balah hari ini. -Foto Bernama
A
A
A

JELI - Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) telah memperuntukkan lebih RM500,000 menerusi sumbangan Kotak Kasih KKMM untuk membantu meringankan beban mangsa banjir yang terkesan.

Menterinya, Tan Sri Annuar Musa berkata, bantuan itu membabitkan sepuluh lokasi dilanda banjir termasuk di Janda Baik, Lancang, Mentakab, Temerloh, Tandom Hill, Bukit Changgang, Taman Sri Muda, Batu 20, Sungai Lui dan Jeli.

Katanya, bantuan berkenaan merangkumi barangan keperluan asas termasuk sumbangan wang tunai membabitkan nilai RM300 hingga RM500 kepada setiap penerima mengikut keadaan dan tempat.

“Setakat ini, hampir 5,000 Kotak Kasih KKMM sudah diagihkan kepada mangsa banjir yang terkesan selain makanan bermasak hampir 15,000 pek termasuk keperluan barangan elektrik.

“Di setiap tempat kita pergi mengikut keperluan dan kalau ada tempat penduduk baru menerima bantuan wang tunai, kita akan bagi barang kepada mereka.. Kita buat apa diperlukan berdasarkan tempat-tempat yang kita pergi,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Kotak Kasih KKMM dan Bantuan Rumah Prihatin di Sekolah Kebangsaan Kuala Balah, di sini pada Isnin yang turut dihadiri Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kuala Balah, Datuk Abdul Aziz Derashid.

Sementara itu, dalam perkembangan sama Annuar berkata, setakat ini lebih 500 buah rumah mangsa banjir telah dibersihkan menerusi Program Bantu Hingga Selesai (BAHIS) yang dilaksanakan selama lima hari bermula 29 Dis lepas.

Katanya, menerusi program berkenaan pihaknya mendapat kerjasama dan sokongan kuat daripada pelbagai pihak termasuk badan bukan kerajaan (NGO), pegawai dan kakitangan kementerian dan sebagainya.

Artikel Berkaitan:

“Operasi selama lima hari itu sangat berkesan kerana kita secara tidak langsung dapat membantu kerajaan tempatan, majlis daerah dan sebagainya yang kekurangan kelengkapan jentera berat.

“Menerusi program itu, paling terkesan kita dapat melihat usaha untuk mengeluarkan longgokan barangan telah rosak hingga mencecah ratusan tan yang telah dipunggah keluar terutama dari kawasan Taman Sri Muda dan Bukit Changgang,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya turut berharap usaha sepakat antara pegawai dan kakitangan kementerian termasuk kerjasama dari NGO dapat diteruskan dari semasa ke semasa sekiranya ada keperluan dan berlaku bencana. - Bernama